KUALA LUMPUR – Jumlah wang bernilai berbilion dolar yang dibawa keluar dari negara ini untuk disembunyikan di bank dan akaun luar pesisir oleh pemimpin politik dan kumpulan peniaga, adalah antara yang tertinggi di dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia berdasarkan pendedahan oleh laporan Integriti Kewangan Global (GFI) pada 2010, Pandora Papers Panama (2016) dan Pandora Papers (2017), mengenai akaun luar pesisir milik rakyat Malaysia di beberapa negara.
Beliau percaya sejumlah besar wang yang disimpan di akaun luar pesisir itu adalah hasil daripada aktiviti haram, termasuk yang membabitkan bekas pemimpin negara.
“Jumlah wang dalam laporan GFI sehingga pendedahan Pandora, Papers dari Malaysia itu agak tinggi berbanding jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi.
“Memang ada yang sebut beberapa negara besar lain seperti China, Arab Saudi dan sebagainya, tapi Malaysia itu ditingkat atas.
“Maknanya, wang yang dibawa keluar dari Malaysia, yang kebanyakannya diperoleh daripada sumber yang dianggap haram itu agak terlalu tinggi bagi negara ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menyiasat semua akaun luar pesisir membabitkan rakyat Malaysia, termasuk dana politik yang datang dari luar negara.
BACA JUGA: