Rakyat perlu tahu kesan jika pengeluaran KWSP diluluskan, kerajaan perlu inisiatif lain secepatnya

Date:

Share post:

ISU kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kali ketiga terus hangat diperkatakan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar dengan syaratnya ditetapkan oleh kerajaan.

Sementara, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum itu cuba membahaskan usul tersebut di Dewan Rakyat dengan alasan pencarum sudah semakin terdesak, tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup yang meningkat saban hari.

Bagaimanapun usul tersebut ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Pada Jumaat lalu dilaporkan kira-kira 320,000 pencarum di seluruh negara yang mempunyai baki simpanan melebihi RM100,000 mendesak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

Pada 4 Februari lalu, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) dalam kenyataan meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.

Rakyat masih menaruh harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pengeluaran simpanan untuk hari tua itu dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Perdana Menteri sebelum ini telah menjelaskan, beliau memahami isu mengenai kebenaran pengeluaran KWSP seperti yang dibangkitkan banyak pihak.

Katanya, sudah banyak kali kebenaran diberi dan ada simpanan pencarum yang semakin berkurangan. Hakikatnya, penjelasan Anwar bahawa pencarum tidak lagi mempunyai simpanan mencukupi adalah berasas.

Majoriti besar pencarum KWSP sudah tidak mempunyai lagi wang yang mencukupi untuk persaraan.

Malah, ramai kalangan pencarum terutamanya kaum bumiputera tidak lagi mempunyai simpanan yang tinggi, hanya kurang daripada RM10,000.

Keutamaan kerajaan kini melibatkan penyelesaian isu asas termasuk keselesaan rakyat serta jaminan bekalan makanan di samping perbelanjaan pembangunan digital.

Di sebalik desakan itu, lebih menarik perhatian penulis ialah pendedahan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Isnin bahawa ada pencarum KWSP yang hanya mampu berbelanja 68 sen sehari selepas bersara susulan empat kali pengeluaran khas dana itu sejak tahun 2020.

Ramai ahli ekonomi sudah memberi amaran bahawa pengeluaran tambahan akan menyebabkan lebih ramai pencarum bersara di bawah paras garis kemiskinan.

Ironinya, menggunakan wang persaraan pada masa ini umpama mengambil ‘Panadol’ untuk jangka masa pendek.

Di sebalik isu desakan pengeluaran KWSP, penulis percaya rakyat menantikan formula daripada Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu kos sara hidup, misalnya menangani isu gaji pekerja yang rendah di negara ini. Itu lebih penting daripada isu pengeluaran KWSP!

Dalam laporan Perkembangan Ekonomi 2018, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kesimpulan bahawa kadar upah di Malaysia tidak sejajar dengan tahap produktiviti pekerja.

Menurut BNM, seorang pekerja yang menghasilkan output bernilai AS$1,000 akan dibayar sebanyak AS$340 di Malaysia, berbanding sehingga AS$510 di negara lain.

Selain itu, lebih membimbangkan setelah 20 tahun, gaji yang sama menanti graduan dalam bidang profesional pada bulan pertama mereka bekerja sedangkan kos sara hidup terus meningkat.

Ini realiti mengecewakan yang terpaksa ditelan anak muda dalam berdepan impak kenaikan kos kehidupan. Tidak kurang juga ramai pekerja senior yang masih peroleh gaji paras rendah.

Bagaimanapun, kenaikan gaji hanya boleh dilakukan sekiranya keadaan ekonomi negara berada pada tahap mengizinkan.

Oleh yang demikian, tumpuan pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini pastinya terarah kepada formula kerajaan dalam menangani isu rakyat dan ekonomi negara.

Pastinya isu kos sara hidup bakal menjadi inti pati utama dan rakyat menanti beberapa pendekatan baharu dijangka diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Rakyat ingin melihat satu perubahan yang pragmatik dilakukan kerajaan Malaysia Madani ke atas kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini.

Kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah antaranya dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja tidak kira sektor awam dan swasta.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Potensi pelaburan RM1.4 bilion dari Jepun – PM Anwar

Perdana Menteri yang memaklumkan perkembangan itu hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya di Jepun, Fumio Kishida, di sini hari ini, berkata potensi pelaburan itu meliputi projek di Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi : Inflasi Malaysia tidak akan meningkat

Dasar pelengkap kepada rasionalisasi subsidi, sama ada penambahbaikan awal dalam pertumbuhan gaji atau pengembangan dalam jaringan keselamatan sosial dengan mengalihkan beban subsidi daripada bahan api kepada jenis subsidi lain, juga harus dipertimbangkan dan dilaksanakan secara serentak

To Lam Presiden Vietnam yang baharu

Beliau dalam ucapan pertama sebagai Presiden berjanji untuk setia kepada tanah air, rakyat dan Perlembagaan serta melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan tugas yang diberikan oleh parti, negara dan rakyat.

Ayam sejuk beku dikesan bersama bekalan daging khinzir dalam kontena

Kes disiasat mengikut Perintah 3(1)(g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal berdekatan satu tempat simpanan yang sama. Jika sabit kesalahan, pesalah membabitkan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM5 juta, manakala untuk kesalahan kedua membabitkan denda tidak lebih RM10 juta