MA63: Isu satu pertiga kerusi untuk Sabah, Sarawak masih dalam perbincangan

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan komposisi satu pertiga kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat seperti yang termaktub pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih di peringkat perbincangan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, penyelesaian perkara itu akan mengambil masa dua hingga tiga tahun kerana ia perlu melalui banyak peringkat yang membabitkan pelbagai pihak, termasuk tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Urusetia MA63; Jawatankuasa Teknikal MA63 dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan beliau sendiri akan membincangkan perkara MA63 berdasarkan topik, dan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang tidak membabitkan masalah undang-undang mahupun teknikal yang mendalam.

“Apabila diputuskan di peringkat teknikal, barulah ia dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan untuk kelulusan terakhir, supaya dibawa ke Kabinet dan akhirnya dibawa ke kementerian-kementerian untuk membuat pindaan kepada segala undang-undang berkaitan.

“Jadi proses itu masih panjang. Kita juga kena dapatkan persetujuan Kabinet, lepas itu dibawa ke Parlimen, dan Parlimen pula memerlukan persetujuan dua pertiga. Kalau tidak disetujui, maka ia tidak boleh lulus,” katanya kepada pemberita selepas program temu bual Naratif Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, agihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak penting supaya Semenanjung tidak akan dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti yang termaktub dalam MA63.

“Mengapa kerusi 30 peratus mesti diagihkan kepada Sabah dan Sarawak, (kerana) kalau (pinda) Perlembagaan, ada perkara yang mesti diputuskan dengan dua pertiga, (dan) jika (negeri-negeri) Semenanjung semua bergabung nak batalkan hak Sabah dan Sarawak, ia boleh dilaksanakan di Parlimen tanpa rundingan dengan Sabah dan Sarawak, sebab itu ia (komposisi kerusi bagi Sabah dan Sarawak) dituntut,” katanya.

Selain tuntutan agihan kerusi Parlimen, beliau juga menjelaskan aspek penyerahan kuasa mengenai hal ehwal pendidikan dan kesihatan seperti yang termaktub dalam MA63 juga masih di peringkat perbincangan.

Berhubung slogan ‘Sarawak First’, Fadillah berkata, ia diwujudkan bagi mengembalikan semangat rakyat Sarawak untuk membina serta membangun bersama Malaysia, dan meskipun wujud ‘suara’ untuk membawa keluar Sarawak dari Malaysia, kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk kekal dalam negara ini.

Menyentuh mengenai Malaysia Madani, Fadillah berkata, konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sahaja untuk mengukur pembangunan daripada aspek ekonomi serta fizikal, tetapi juga memberikan manfaat dalam konteks insaniah.

“Ia supaya (Malaysia Madani) menjadi satu budaya apabila pembangunan bukan sahaja daripada konteks fizikal tetapi bagaimana manfaatnya kepada konteks insaniah,” katanya.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PROBEST beri manfaat kepada 9,529 usahawan belia dalam sektor pertanian moden

program yang diperkenalkan sejak 2016 oleh KPKM itu merupakan kerjasama strategik Agrobank dengan beberapa universiti tempatan bertujuan bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden

Kerajaan terus komited tangani kos sara hidup – PM Anwar

“Tetapi jika ditanya adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup di sesetengah tempat yang menekan kehidupan,”

Kerajaan Sabah beri sokongan dan kerjasama kekang pencerobohan

usaha itu juga bagi mengekang anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)

Kerajaan bebaskan 142,510 individu daripada senarai bankrap – PM Anwar

Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung (nasibnya), tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi