Perbaharui silibus pelajaran yang sudah tidak relevan – Tunku Mahkota Ismail

Date:

Share post:

ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan sistem pendidikan negara melaksanakan perubahan penting dengan memperbaharui silibus mata pelajaran sekolah yang sudah tidak lagi relevan.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, langkah itu adalah satu keperluan berikutan pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan dan penting bagi penyelesaian pelbagai isu.

Oleh itu, baginda bertitah, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan negara.

“Saya sering tekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa Johor. Ia adalah asas kemajuan negeri dan penting bagi selesaikan pelbagai isu.

“Pendidikan berkualiti akan buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.

“Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan adalah dengan memperbaharui silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.

“Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarkan Johor jadi negeri pertama untuk mengubah silibus di sekolah-sekolah di Johor,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut menitahkan supaya Kementerian Pendidikan menerima teguran Laporan Bank Dunia mengenai pendidikan negara, bulan lalu.

“Jika kita masih tidak dapat menerima hakikat seperti dilaporkan dalam Laporan Bank Dunia baru-baru ini dan kedudukan terkini pelajar kita, maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa hadapan kurang berdaya saing berbanding rakan serantau,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail merujuk laporan terbaru Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ pada 25 April lalu, yang dilaporkan memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan.

Ia berbanding pelajar Vietnam walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca menjelang akhir Tahun 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau, selain pelajar Malaysia dilapor menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun, manakala pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa sama.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menetapkan sasaran supaya setiap generasi muda di negeri ini melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya ingin menzahirkan pada masa akan datang, setiap anak Johor perlu tamatkan pengajian di peringkat IPT dan bukan lagi peringkat menengah sahaja,” titah baginda.

Baginda juga mahu Johor melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam teknologi dan terdedah kepada perubahan teknologi semasa.

Titah baginda, ia berikutan semakin banyak pusat data berskala besar yang dibuka di Johor berikutan kemasukan pelabur asing.

“Johor berpotensi jadi hab teknologi dan inovasi negara. Oleh itu, inisiatif baharu yang lebih proaktif untuk membantu mempersiapkan golongan belia Johor hadapi cabaran masa depan dengan pembangunan pusat data berskala besar di Johor, juga perlu diadakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu

PM Anwar tiba di London untuk lawatan kerja selama lima hari

Mereka juga dijangka membincangkan perkara berkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan

Bantuan SARA dan STR mula diagih esok, peruntukan tertinggi dalam sejarah

Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak

496,541 pelajar akan terima BAP di seluruh Sabah

Diingatkan juga kepada semua pengetua dan guru besar, tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran diambil daripada BAP ini. KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami