PRN di 6 negeri, akan wujud ‘perang retorik’

Date:

Share post:

Penganalisis politik meramalkan pelbagai isu akan dibangkitkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini, dengan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan berganding bahu dengan Umno sebagai cerminan kerjasama mereka di peringkat Persekutuan untuk menentang Perikatan Nasional (PN).

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata parti-parti dalam kerajaan campuran itu berkemungkinan akan menumpukan kepada kestabilan politik dan keperluan untuk membantu dalam menangani isu-isu di lapangan.

“Perkara berkaitan rasuah juga mungkin dibangkitkan, berikutan dakwaan PN menyalahgunakan kira-kira RM93 bilion dana rangsangan ekonomi semasa pandemik Covid-19,” katanya.

“Juga isu perpaduan kaum. Mereka akan mengatakan parti-parti pembangkang lebih fokus kepada isu perkauman dan agama. Parti kerajaan pula mengatakan mereka bersama Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatu untuk mewujudkan negara yang sederhana, lambangkan berbilang kaum dan sebagainya.”

Sementara itu, bagi parti pembangkang, PAS dan Bersatu dijangka memainkan isu-isu utama seperti ketidakupayaan kerajaan menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dilihat menjadi beban ditanggung rakyat.

“Mereka juga akan fokus kepada isu rasuah dan integriti. Mereka akan kata Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sanggup berkompromi dengan Umno malah diterima duduk dalam Kabinet.

“Mereka akan mengatakan PH sudah langgar prinsip kerana terima kleptokrat.”

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pemerhati dan ahli politik mencadangkan PRN di enam negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijalankan secara serentak pada Mac iaitu sebelum bermulanya Ramadan.

Cadangan lain pula membayangkan PRN diadakan pada Mei atau Jun selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidik di O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata isu-isu nasional pada PRN kali ini akan tertumpu kepada kecekapan para menteri menguruskan tugas masing-masing terutamanya portfolio kementerian yang sering kali mendapat perhatian umum.

Ini termasuklah isu kos sara hidup, sukan dan penganjuran konsert di kemuncak perlawanan bola sepak selain isu kawalan sempadan daripada kemasukan pelancong China bagi membendung penularan Covid-19, dividen berkaitan Bumiputera dan kebebasan media sosial.

“Menteri yang banyak menjadi sasaran dalam isu ini selain perdana menteri sendiri termasuklah juga Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk mempamerkan kecekapan urus tadbir kerajaan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memperlihatkan usaha-usaha proaktif yang digunakan beliau seperti pengumumannya bekerja pada hari cuti dan lawatan menteri secara mengejut seperti Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Seterusnya, dalam usaha menyerang naratif pihak lawan dari PN, parti-parti dalam kerajaan akan membawa imej mereka sebagai kerajaan bersifat inklusif dan menyerang pembangkang menggunakan isu Melayu-Islam.

“Manakala bagi isu negeri pula, fokus serangan pembangkang akan tertumpu pada urus tadbir di Selangor dan Pulau Pinang khususnya air dan alam sekitar.

“Sementara isu kemajuan dan banjir akan dijadikan serangan terhadap kerajaan negeri PN terutamanya di Kelantan.”

Sokongan Melayu

Dari sudut sokongan Melayu pada PRN di enam negeri itu, Mazlan berkata beliau menjangkakan tiada perubahan mendadak sokongan Melayu kepada PN, terutamanya di negeri utara dan di pantai timur yang menyaksikan lonjakan sokongan terbesar terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, kemunculan PN dengan parti utamanya, Bersatu dan PAS membawa satu gabungan politik yang memberi saingan sengit kepada Umno dan PH.

PAS berjaya menguasai 49 kerusi Parlimen (enam merupakan pemimpin Bersatu yang menggunakan logo PAS) sekali gus menjadi parti Melayu tertinggi mendominasi kerusi Parlimen Melayu iaitu hampir 43% berbanding Umno 23% dan PKR hanya 11%.

Dengan sokongan orang Melayu terhadap PH dilihat semakin merosot, sebarang kerjasama dengan Umno berkemungkinan menyaksikan Barisan Nasional (BN) ditugaskan untuk mendapatkan sokongan kaum itu.

Namun, sejauh mana Umno boleh berfungsi dan memainkan peranan terhadap misi tersebut?

Menurut Anis, terdapat tiga peranan utama Umno yang perlu dimainkan dalam kerjasama BN-PH bila berdepan dengan PRN akan datang.

Pertamanya, mengendurkan prasangka pengundi Melayu terhadap PH khususnya kepada DAP.

Ini kerana, prasangka tersebut menjadi faktor penolakan pengundi Melayu terhadap kerajaan semasa.

Kedua, Umno dilihat perlu membersihkan imej DAP dengan meyakinkan orang Melayu untuk keluar mengundi khususnya di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan parti kerajaan.

“Pengundi Umno dijangka masih boleh keluar mengundi jika calonnya dari BN sepertimana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman. Namun, pola yang berbeza di Padang Serai di mana ahli Umno masih belum bersedia mengundi parti kerajaan yang lain.”

Peranan Umno yang ketiga pula adalah mengemudi kerajaan di negeri-negeri Melayu terutamanya di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Kata Anis, prestasi PH dalam gabungan pasca PRU15 akan dinilai di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Sementara BN-Umno pula akan dinilai di tiga buah negeri yang lain.

“Memandangkan PH sudah memiliki kekuatan tunggal, maka Umno perlu membuktikan mereka mampu membawa kemenangan di negeri yang dikuasai PN dalam mengukuhkan kedudukan rakan parti PH dalam kerajaan.”

Pada masa sama, Mazlan berkata gabungan undi Melayu daripada Umno dan PH mampu menghasilkan satu keputusan yang baik.

Katanya, gabungan kerjasama itu boleh membantu Umno dan PH mendapatkan lebih banyak kerusi di negeri-negeri utara tetapi masih sukar bagi negeri-negeri di Pantai Timur.

“Lagi-lagi untuk menawan negeri-negeri itu. Tapi untuk Kedah (atau) Perlis, negeri itu saya kira boleh.”

BACA JUGA :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan diharap bantu kempen PRK DUN Nenggiri

PRK DUN Pelangai di Pahang tahun lepas, DAP telah membantu kempen yang menyumbang kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN)

PROBEST beri manfaat kepada 9,529 usahawan belia dalam sektor pertanian moden

program yang diperkenalkan sejak 2016 oleh KPKM itu merupakan kerjasama strategik Agrobank dengan beberapa universiti tempatan bertujuan bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden

Kerajaan terus komited tangani kos sara hidup – PM Anwar

“Tetapi jika ditanya adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup di sesetengah tempat yang menekan kehidupan,”

Kerajaan Sabah beri sokongan dan kerjasama kekang pencerobohan

usaha itu juga bagi mengekang anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)