Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali ‘Membangun Malaysia Madani’, yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanatnya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini berkata tema Madani akan kekal relevan dan mampu selamatkan negara.
Konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.
Malaysia Madani akan menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).
Menurut Jabatan Perdana Menteri, amanat Perdana Menteri hari ini adalah berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, pemimpin kerajaan sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Agenda dasar kerangka MADANI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh pencorakan masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara.
“MADANI disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar,” katanya.
Majlis Amanat Perdana Menteri diadakan sejurus selepas Program Wacana Membangun Malaysia Madani bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi ini, sebagai usaha untuk meneroka tonggak dasar berkenaan.
“Ia adalah usaha untuk memberi kefahaman yang lebih tuntas dalam kerangka pemikiran, falsafah, etika dan tindakan dalam membangun Malaysia MADANI.
“Wacana ini disampaikan oleh empat ahli panel yang terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Datuk Prof Muhd Nur Manuty; Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Prof Dr Haslinda Abdullah,” katanya.
BACA JUGA :