LPPS Catat Lonjakan Kargo 2025, Isyarat Positif Ekonomi Sabah

OTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah merekodkan pengendalian kargo sebanyak 532,391 TEUs sepanjang 2025, meningkat ketara berbanding 386,293 TEUs pada tahun sebelumnya sekali gus memberi gambaran positif terhadap perkembangan ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick berkata, peningkatan itu menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh kecekapan pelabuhan dalam menyokong aktiviti perdagangan, industri dan pelaburan negeri. Menurutnya, pelabuhan memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat logistik, malah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 LPPS di Sutera Harbour Resort. Katanya, selaras dengan aspirasi “Better Ports, Better Sabah”, pembangunan sektor pelabuhan perlu terus dimodenkan agar lebih cekap dan kompetitif bagi memenuhi keperluan industri semasa.

Menurut beliau, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar yang dijangka siap hujung tahun depan diyakini mampu meningkatkan kapasiti pengendalian kargo serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab logistik serantau. Pada masa sama, kerajaan turut menangani cabaran operasi di pelabuhan utama termasuk di Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan melalui pelbagai langkah proaktif.

Antara langkah tersebut termasuk pelaksanaan lapan Pelan Tindakan Interim yang diluluskan Jemaah Menteri, sesi libat urus bersama pemain industri serta pemantauan berterusan oleh pasukan khas kerajaan negeri.

Peningkatan jumlah pengendalian kargo ini membuktikan sektor logistik Sabah semakin berkembang dan berpotensi besar menjadi pemacu ekonomi baharu negeri. Jika momentum ini diteruskan dengan penambahbaikan infrastruktur yang konsisten, Sabah mampu muncul sebagai pusat perdagangan penting di rantau ini.

- Advertisement -spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here