KOTA KINABALU: Sabah bakal mencipta sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah Forum Ekonomi Digital Malaysia ke-10 2026 (MDEF26), menjadikannya penganjuran pertama acara berprestij peringkat kebangsaan itu diadakan di luar ibu negara.
Forum yang dijadual berlangsung pada 11 Ogos 2026 itu akan dianjurkan oleh Malaysia Digital Chamber of Commerce (MDCC) Cawangan Sabah dengan kerjasama Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus memperkukuh peranan negeri ini dalam landskap ekonomi digital negara.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Emeritus MDCC, Dr Chris Daniel Wong selepas mengetuai delegasi MDCC Sabah dalam kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Operasi SMJ, Ramlee Kariah. Menurut beliau, pemilihan Sabah mencerminkan keyakinan terhadap potensi besar negeri ini dalam menjana peluang perniagaan berasaskan ekonomi digital.
Tambahnya, forum berkenaan bertujuan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pemain utama ekonomi digital Malaysia, selain mempromosikan rangka kerja Ekonomi Biru serta mempercepat penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam sektor utama termasuk PKS, logistik, pelancongan, maritim dan pertanian.
Dalam masa sama, forum itu dijangka menarik penyertaan delegasi antarabangsa bagi merancakkan pelaburan rentas sempadan dan kerjasama serantau ASEAN. Ramlee turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran ini selaras dengan agenda SMJ yang menekankan pendigitalan, inovasi dan pembangunan mampan, selain merasmikan pelancaran laman Facebook MDCC Sabah sebagai medium penghubung komuniti perniagaan.
Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah MDEF26 bukan sekadar simbolik, tetapi bukti jelas bahawa negeri ini semakin diiktiraf di peringkat nasional sebagai hab baharu ekonomi digital. Dengan perancangan yang konsisten di bawah SMJ, Sabah kini berada di landasan tepat untuk menarik lebih banyak pelaburan dan membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
