Kebun Dapur App: Bantu mudahkan urusan pemasaran hasil pertanian dan ternakan di Sabah

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar 
Gambar kredit : Laman Muka Buku Jamawi Jaafar

Dalam era digital hari ini, sektor pertanian tidak boleh lagi bergerak secara tradisional semata-mata. Penggunaan aplikasi untuk memantau bekalan, menghubungkan pengeluar dan pembeli, serta merancang permintaan adalah satu pendekatan yang tepat dan selari dengan perkembangan teknologi semasa. Oleh itu, cadangan pelancaran Kebun Dapur App’ oleh kerajaan negeri sebagai satu langkah yang sangat relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan di Sabah.

Apa yang menarik perhatian saya ialah keupayaan aplikasi ini untuk memberikan maklumat secara masa nyata. Sebagai contoh, mengetahui jumlah bekalan sayur atau ikan di sesuatu kawasan seperti Kundasang bukan sahaja membantu pembeli membuat keputusan, tetapi juga membolehkan pengeluar merancang pengeluaran dengan lebih baik.

Ini penting kerana salah satu masalah utama dalam sektor pertanian adalah ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan. Saya juga melihat peranan aplikasi ini dalam mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah sebagai satu perkembangan yang positif.

Selama ini, ramai petani dan penternak berdepan isu margin keuntungan yang rendah kerana terlalu bergantung kepada perantara. Dengan adanya akses terus kepada pasaran, pendapatan mereka berpotensi meningkat dan menjadi lebih stabil.

Namun begitu, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada tahap penerimaan pengguna, khususnya di peringkat komuniti luar bandar. Akses kepada teknologi, kemahiran digital serta kesediaan untuk berubah akan menjadi faktor penentu. Dalam masa yang sama, saya berpandangan bahawa pendekatan Kebun Dapur di peringkat isi rumah juga sangat penting.

Konsep menghasilkan makanan sendiri seperti menternak ayam atau menanam sayur mungkin kelihatan kecil, tetapi jika dilaksanakan secara meluas, ia mampu memberi kesan besar kepada pengurangan kos sara hidup. Lebih penting, ia membantu membina daya tahan komuniti dalam menghadapi ketidaktentuan harga makanan.

Isu kebergantungan tinggi kepada import makanan ternakan sehingga 95 peratus juga tidak boleh dipandang ringan. Keadaan ini menjadikan kos pengeluaran sangat terdedah kepada faktor luar seperti krisis global dan turun naik harga pasaran. Oleh itu, usaha memperkenalkan penghasilan dedak sendiri menggunakan sumber tempatan adalah langkah yang wajar diperkasakan.

Program latihan dan bimbingan yang disediakan juga merupakan satu komponen penting dalam memastikan kejayaan inisiatif ini. Tanpa ilmu dan kemahiran yang mencukupi, sukar untuk peserta benar-benar memanfaatkan peluang yang ada. Dalam hal ini, peranan mentor berpengalaman amat penting untuk membimbing peserta di peringkat awal.

Pelaksanaan Kebun Dapur App dan program berkaitan menjadi satu pendekatan yang praktikal dalam menangani isu kos sara hidup dan sekuriti makanan di Sabah. Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada pelaksanaan yang menyeluruh bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga sokongan latihan, infrastruktur dan perubahan sikap masyarakat.

Jika semua ini dapat digerakkan dengan baik, inisiatif ini bukan sahaja membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti, termasuk golongan muda.

- Advertisement -spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here