SEPANG: Pesawat kargo khas dari Pakistan yang membawa sumbangan banjir peringkat pertama untuk rakyat Malaysia, selamat mendarat di Terminal MASKargo di sini kira-kira 4.30 petang tadi.
Pesawat yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad, Pakistan pada 5.30 pagi (waktu Pakistan) dan melibatkan perjalanan sejauh 4,437 kilometer.
Penerbangan pesawat kargo itu antara lain membawa barangan sebanyak 40 tan meliputi selimut, khemah keluarga, beg tidur, jaket keselamatan dan tikar bagi mangsa banjir di seluruh negara.
Inisiatif berkenaan susulan hasrat yang dizahirkan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif bagi menghantar sumbangan untuk meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan rakan sejawatnya menerusi perbualan telefon pada petang 30 Nov lepas, dan Shehbaz turut menyatakan simpati kepada Malaysia susulan musibah itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah berkata langkah itu sebagai respons kepada bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia dan bantuan berkenaan mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Sebaik sahaja Perdana Menteri Pakistan mengetahui tentang banjir yang menjejaskan enam atau tujuh negeri, dan terdapat banyak kerosakan, harta benda dan nyawa, beliau bercakap dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim … bukan hanya untuk menyampaikan simpati dan dukungan kerajaan dan rakyat Pakistan, tetapi juga berhasrat untuk mengambil bahagian dalam sokongan ini.
“(Bantuan kemanusiaan) ini ialah refleksi dan manisfetasi (keprihatinan Pakistan), sumbangan ini tanda sokongan kecil kami kepada saudara di Malaysia, untuk membantu kerajaan Malaysia dalam usaha bantuan kepada negeri-negeri yang terjejas sehingga mengalami banyak kerugian,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas pesawat khas yang membawa bekalan bantuan itu mendarat di sini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan atas kerjasama daripada agensi Malaysia, terutamanya Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas sokongan tidak berbelah bahagi dan dedikasi mereka yang membolehkan bantuan ini disampaikan tepat pada masanya.
“Sudah tentu setiap kali perkara sebegini berlaku di Pakistan, bencana alam (dan sebagainya), kami sentiasa menerima bantuan daripada saudara di Malaysia. Hari ini ialah bantuan kecil kami yang mencerminkan hubungan erat antara dua negara dan berterima kasih atas sokongan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata jumlah sumbangan yang diterima dari Pakistan adalah sebanyak 80 tan dan pesawat kargo yang akan membawa sumbangan peringkat kedua akan tiba di negara pada 11 Dis dengan muatan 40 tan (barangan sama).
Beliau berkata NADMA telah membuat persediaan rapi bagi menerima sumbangan terbabit dengan kerjasama National Disaster Management Authority (Pakistan) bersama agensi kerajaan lain antaranya Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia.
Ditanya mengenai kaedah pengagihan sumbangan itu, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kelak selepas mesyuarat koordinasi diadakan.
“ … hal itu belum diputuskan lagi, sebenarnya negara belum habis (bencana), baru mula. Kita jangka ada lebih lagi episod bencana berlaku, kita akan tengok keadaan nanti. Buat masa ini, kesemua barangan ini akan ditempatkan di depoh simpanan sebelum diagihkan kepada mangsa bencana,” katanya.