PENAMPANG: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan-santun, perpaduan serta pembangunan sebagai acuan membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata tiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan sesuai dengan cara hidup orang Sabah yang ramah-tamah, bertoleransi dan berharmoni.
Katanya, sejajar dengan cara hidup orang Sabah itu, rakyat pelbagai etnik di negeri ini wajib menyemai dan menyuburkan semangat ‘ethnic trust building’ bagi mengekalkan kerukunan dan suasana harmoni dalam kehidupan masyarakat.
“Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya.
“Kita juga mahukan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa perlu ada rasa takut atau terancam dalam menjalani kehidupan.
“Semua keinginan ini hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita aman serta stabil, rukun dan damai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.
Hajiji turut menekankan kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negeri dan negara dalam konteks berkerajaan.
“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal angan angan. Kestabilan politik sukar untuk dicapai jika pemimpin bercerai-berai.
“Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat saling bersengketa dan berbalah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kehancuran,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata dalam konteks keluarga besar GRS yang terdiri daripada pelbagai parti, meskipun berbeza latar belakang perjuangan, semua parti komponen berkongsi objektif yang sama atas nama negeri dan rakyat Sabah.
Objektif itu, katanya iaitu ke arah Sabah yang bersatu, progresif, dinamik, aman dan sentosa menjadi pegangan GRS bersandarkan konsep memperkukuh kesatuan dalam kepelbagaian.
“Melalui gabungan ini juga, kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
Justeru katanya, di dalam gabungan ini, perbezaan dan kepelbagaian bukannya batu penghalang untuk kita terus mengorak langkah ke hadapan, membentuk suatu kesatuan demi mencipta perpaduan dan kejayaan.
“Sebaliknya, kepelbagaian yang kita warisi ini adalah kelebihan kita bersama yang harus di manfaat dan dipelihara.
“Kelebihan ini jika terus dipupuk dan dijaga, ia akan terus menjadi asas kukuh bagi kekuatan dan keteguhan kita.
“Kelebihan inilah yang telah mewujudkan GRS yang menjadi tunjang pemerintahan negeri, yang kini turut didukungi oleh sahabat-sahabat kita dari PH dan rakan-rakan yang lain,” katanya.
Dalam gabungan itu, katanya agenda utama GRS-PH Plus ialah komitmen untuk menjaga kepentingan bersama meliputi segenap lapisan masyarakat, secara adil dan saksama, tanpa mengira kelompok majoriti atau minoriti.
Hajiji turut mengakui lumrah perjuangan terutama dalam berpolitik yang sekali-sekala berlaku perbezaan pendapat dan pendekatan berkaitan isu tertentu yang turut berlaku dalam GRS.
Katanya, semua itu adalah hakikat kehidupan yang menuntut untuk sentiasa berfikiran terbuka, saling memberi dan menerima, meraikan persefahaman dan menggalakkan permuafakatan.
“InsyaAllah, gabungan ini akan terus kita perkukuhkan demi kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna untuk kecemerlangan masa hadapan,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang diakuinya sudah semakin hampir untuk kerajaan pimpinannya memulangkan kembali mandat kepada rakyat melalui proses demokrasi.
Katanya, sebagai kerajaan hari ini, GRS-PH Plus akan terus berkhidmat dan menawarkan diri kepada rakyat bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan usaha memakmurkan negeri serta rakyat Sabah.
“Tahun 2025 adalah tahun pilihan raya. Maknanya, kita akan serah kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi, sesuai dengan amalan demokrasi.
“Sebagai ‘Government of the Day’, GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir,” katanya.
Menurutnya, menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus menawarkan parti dan gabungan kita kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta ini.
“Sebagai kerajaan pilihan rakyat, GRS-PH Plus adalah platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan agenda perjuangan,” katanya.
Hajiji berkata, PRN17 menuntut usaha bagi memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan GRS-PH Plus sebagai pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.
Beliau memberi jaminan gabungan GRS-PH Plus bukan saja berupaya dan berkebolehan, malah ikhlas dalam perjuangan yang mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan.
Mengenai persidangan PBS, Hajiji mengakui perhimpunan di Hongkod Koisaan menyerlahkan kedudukan parti itu sebagai antara parti komponen GRS paling kanan yang diyakini berupaya menyumbang idea bernas dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kerajaan.
Katanya, PBS yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelora tetapi penuh dengan warna-warni.
“Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik, termasuklah parti PBS ini sendiri, kerana PBS adalah ‘part and parcel of Sabah Politics’, yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum,” katanya.
Turut hadir, pengasas PBS, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden-Presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).