Sasaran bina 500,000 unit Rumah Mampu Milik mencapai 89 peratus – KPKT

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Sasaran pembinaan 500,000 rumah mampu milik (RMM) hampir tercapai dengan 89 peratus, membabitkan 443,259 unit sudah siap, sedang dibina, dan dirancang di seluruh negara sehingga September lalu.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat memaklumkan, baki 56,741 unit RMM dijangka diselesaikan menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini.

Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kementerian itu menjelaskan, terdapat peningkatan yang signifikan dalam aktiviti pengurusan hartanah pada setengah tahun pertama 2024, berbanding 2023.

“Terdapat peningkatan lapan peratus dalam jumlah transaksi membabitkan 198,906 unit hartanah, dengan nilai keseluruhan melonjak 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion,” menurut jawapan bertulis itu.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkranain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai cadangan menghidupkan kembali Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan langkah tambahan KPKT untuk menyokong pembeli rumah pertama serta memulihkan industri hartanah di Malaysia.

Melihat kepada kejayaan inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) yang berakhir pada Disember lalu, KPKT sudah memohon pertimbangan kerajaan untuk melanjutkan inisiatif tersebut supaya lebih ramai pembeli, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), dapat menerima manfaat.

“Menurut laporan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 8,723 tuntutan pengecualian duti setem direkodkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM38,373,796.52.

Kementerian memaklumkan bahawa kerajaan masih meneruskan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah 2.0 (HOC 2.0), yang berlangsung dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025.

Kempen ini menawarkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan bagi kediaman baharu atau pasaran sekunder bernilai RM500,000 ke bawah.

KPKT menjelaskan bahawa Belanjawan 2025 turut menyediakan insentif untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama melalui pelepasan cukai individu atas bayaran faedah pinjaman perumahan.

Pelepasan cukai sehingga RM7,000 diberikan bagi rumah berharga sehingga RM500,000, manakala pelepasan cukai sehingga RM5,000 bagi kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.

“Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027,” katanya.

Selain itu, kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM10 bilion bagi manfaat 20,000 pembeli rumah, Sebagai tambahan, hampir RM900 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang turut diperuntukkan melalui Belanjawan 2025.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kerajaan akan memperluas TVET pastikan tenaga kerja mampu kendali teknologi canggih

Inilah cara Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir

Amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah dan Labuan

cuaca itu dijangka melanda Sabah yang membabitkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Kudat dan Sandakan (Beluran) serta Wilayah Persekutuan Labuan

Bekalan makanan akan mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut – Mohamad Sabu

Mencukupi atau tidak, kalau ikut pengalaman lepas memang kita dapat sediakan dengan mencukupi,

Peningkatan peruntukan KPKM komitmen kerajaan pastikan kecukupan bekalan makanan negara – Mohamad Sabu

Melalui peruntukan ini, KPKM akan terus memacu sektor agromakanan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memfokuskan kepada pemodenan dan perkembangan sektor agromakanan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara