Pemimpin organisasi pendidikan disaran kuasai AI – Saifuddin

Date:

Share post:

JITRA: Pemimpin dan pentadbir pendidikan disaran agar menguasai perkembangan teknologi baharu terutamanya Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan sekali gus dapat melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengetua, guru besar serta guru perlu sekurang-kurangnya memastikan pelajar mereka tahu mengenai istilah AI.

“Kalau tertinggal dan tak boleh kuasai cabang ilmu baharu ini iaitu AI, kira kita sudah tertinggal jauh. Saya fikir isu ini sangat relevan sebab pemimpin dan pentadbiran pendidikan, macam mana pun kena olah pelajar kita, paling tidak tahu istilah AI kerana itulah realiti hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Eksekutif MADANI bertajuk Peranan Pemimpin MADANI dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia Cawangan Utara di sini, malam tadi.

Menurutnya dalam aspek ekonomi juga, perladangan bukan lagi komoditi sebaliknya data kini menjadi sumber pendapatan baharu.

“Dunia sudah berubah, perdagangan bukan lagi komoditi seperti dahulu, bijih timah, getah sawit, atau minyak dan gas. Data ialah ‘minyak’ yang baharu,” katanya.

Sementara itu Pengarah IAB Ab Aziz Mamat berkata Bicara Eksekutif MADANI kali ini amat bertepatan dengan peranan dan tanggungjawab pemimpin pendidikan dalam organisasi yang diterajui.

“Pemimpin dalam sesebuah organisasi pendidikan terutamanya, amat berperanan dalam memastikan aspek kemuliaan insan dan manusiawi diberikan perhatian utama agar dapat membentuk generasi yang berakhlak tinggi, ihsan, berkeyakinan dan berdaya cipta,” katanya.

Beliau berkata Bicara Eksekutif MADANI diharap menjadi titik tolak kepada usaha berterusan pemimpin pendidikan untuk menyemarakkan nilai-nilai MADANI dalam setiap aspek kepimpinan dan pengurusan mereka bagi memastikan kesejahteraan, kemampanan dan keselamatan negara terjamin.

Peserta program Iskandar Mohd Nasir yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran dari sekolah di Kelantan berkata program itu memberikan impak sangat tinggi untuk barisan kepimpinan iaitu pengetua dan guru besar.

“Apa yang kita dapat ialah bagaimana pendidikan harus mendepani perubahan dalam arus teknologi maklumat terutama AI. Pemimpin pendidikan diberikan tanggungjawab sangat besar untuk mempersiapkan murid bagi menghadapi cabaran AI ini.

“Ia tidak mudah, namun harus didepani dan harus diburu kerana ia merupakan hasrat dan teras dalam tonggak kerajaan MADANI,” katanya.

Ku Nor Suriati Ku Ishak yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah pula berkata program tersebut sangat membuka minda pemimpin pendidikan dalam usaha melahirkan pelajar yang bakal menjadi pemimpin akan datang dengan input untuk merealisasikan hasrat Malaysia MADANI.

Program Bicara Eksekutif MADANI kali ini disertai barisan pemimpin dan pentadbiran pendidikan Zon Utara dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak serta Kelantan.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Bila Pendidikan Hilang Jiwa

Kita sedang menyaksikan zaman di mana sekolah tidak lagi menjadi tempat paling selamat di dunia seorang anak.
 Dulu,...

“Sabah for Sabahans” Antara Slogan, Identiti dan Tuntutan Menjelang PRN 2025

Pengenalan: Dari Slogan ke Isyarat Politik Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN Sabah 2025), slogan “Sabah for Sabahans”...

Belanjawan MADANI 2026: Sabah Dihargai, Sabah Dibangunkan

Ada sesuatu yang berbeza dalam Belanjawan MADANI 2026.Kali ini, bukan sekadar deretan angka yang dibacakan di Parlimen —...

Diplomasi Malaysia di antara Hikmah dan Perjuangan Gaza

Dalam kehangatan isu Gaza dan kezaliman rejim Zionis yang tidak berkesudahan, Malaysia sekali lagi tampil memainkan peranan penting...