Beri tumpuan B40, M40 miliki rumah dalam belanjawan 2025

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Penyediaan lebih banyak projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk golongan B40, selain mengembalikan inisiatif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) serta pengurangan kadar cukai untuk membantu golongan M40 memiliki kediaman sendiri, antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Mohd Jamil Idris, berkata sehingga 31 Ogos lalu, pihaknya menerima 187,267 permohonan untuk memiliki rumah di bawah projek RMR.

“Justeru, melalui Belanjawan 2025, kami berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukan yang lebih besar kepada SPNB bagi menangani permintaan tinggi terhadap RMR dan meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40,” katanya kepada Bernama.

Mohd Jamil berkata, kerajaan melalui SPNB komited menyediakan perumahan mampu milik, khususnya untuk golongan B40, sebagaimana terbukti dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Pada peringkat awal RMK-12, SPNB diberi mandat untuk melaksanakan 15,000 unit RMR dengan nilai keseluruhan RM1.23 bilion menjelang 2025.

“Namun, disebabkan permintaan yang tinggi, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan untuk membina 8,000 unit lagi RMR dengan kos RM683 juta, menjadikan jumlah keseluruhan 23,000 unit RMR dengan nilai RM1.92 bilion, iaitu 53 peratus melebihi sasaran awal RMK-12,” tambahnya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum pula berkata, adalah penting untuk kerajaan memperkukuh insentif bagi pembeli rumah kali pertama dalam Belanjawan 2025 untuk mempercepatkan pemulihan sektor hartanah, sekali gus merangsang ekonomi negara.

Menurut beliau, insentif seperti pengembalian HOC sangat membantu pembeli mendapatkan rumah impian, selain mengurangkan masalah lambakan rumah tidak terjual.

Beliau turut mencadangkan pengecualian 100 peratus duti setem untuk hartanah bernilai RM300,001 hingga RM1 juta.

“Selain itu, potongan 10 peratus bagi pembelian rumah pertama dan pengenalan Deposit MADANI, yang menyediakan bantuan kewangan sehingga RM30,000 untuk bayaran pendahuluan rumah pertama, dapat membantu mengatasi halangan pemilikan rumah,” ujarnya.

Leong juga mencadangkan pengenalan semula potongan cukai faedah pinjaman perumahan seperti yang dilaksanakan pada 2009, pengurangan kos pematuhan, mempercepatkan proses kelulusan, serta pelepasan cukai kepada pemaju yang mengamalkan amalan hijau dalam projek mereka.

Sementara itu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) berharap kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dalam Belanjawan 2025 untuk menangani isu lambakan projek perumahan lewat, sakit, dan terbengkalai.

Setiausaha Agung Kehormat HBA, Datuk Chang Kim Loong, berkata persatuan berharap kerajaan akan mengambil pendekatan lebih telus dalam melaksanakan inisiatif yang dapat membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Walaupun banyak inisiatif diperkenalkan kerajaan, proses tapisan untuk memastikan penerima manfaat yang layak masih perlu diperkemas.

“Kita perlu memastikan bahawa mereka yang benar-benar layak menerima bantuan tidak menjadi ‘pembeli miskin’ iaitu pembeli yang memiliki rumah hasil bantuan kerajaan tetapi tidak mampu menanggung kos pasca pembelian seperti bayaran bulanan, cukai pintu, cukai tanah, yuran penyelenggaraan, dan dana sinking,” jelasnya.

Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Hasniro Abdullah, berharap kerajaan akan menyediakan lebih banyak insentif bagi pemilik tanah yang ingin membina rumah sendiri, termasuk sokongan kewangan dengan kadar faedah rendah dan subsidi bahan binaan.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mewujudkan insentif kepada syarikat yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta memperluaskan skim pinjaman bagi pengembangan perniagaan dan pembiayaan projek kepada kontraktor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Ringgit teruskan momentum positif

Ringgit meneruskan momentum positif baru-baru ini untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Jumaat

PM Anwar ajak orang ramai hadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI

program itu ialah inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama dua tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi

JPN di fasa akhir muktamadkan penukaran mykad generasi baharu

penggantian kad pengenalan struktur baharu itu bertujuan memastikan kad pengenalan bakal dikeluarkan JPN kelak mempunyai ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkat selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini

Sabah memerlukan 7000 doktor bagi mencapai nisbah 1 doktor setiap 500 penduduk

Kalau sekarang ini, dengan jumlah itu satu doktor jaga 1,400 orang. Untuk mencapai nisbah satu doktor 500 orang mengikut WHO kita perlu 7,000 doktor di Sabah