Kerajaan GRS dan PH Plus adil terhadap semua pihak – Hajiji

Date:

Share post:

TUARAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini, termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya dan kerajaan pimpinannya, soal keadilan tetap menjadi pegangan beliau.

Atas prinsip itu, beliau berusaha sebaik mungkin memberikan layanan yang adil kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.

Malah beliau sendiri meluluskan permohonan pemimpin pembangkang yang memohon biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anak mereka atas dasar keprihatinan terhadap anak-anak Sabah.

“Azis Jaman (Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jaman) punya permohonan biasiswa untuk anaknya pun saya luluskan..apa lagi yang kita tidak buat.

“Saya adil apabila dia dan isteri datang jumpa di pejabat dan kerana keprihatinan saya, anak-anak itu mesti ditolong dan kita luluskan biasiswa untuk dia. Saya tidak pernah fikir hanya untuk ahli parti saya saja, tapi untuk semua.

“Ada juga anak pemimpin pembangkang lain yang mendapat kemudahan, kita bagi. Saya tidak sanggup (mengabaikannya). Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan sesiapa walaupun kita adalah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini hari ini.

Presiden Gagasan Rakyat ini berkata, atas prinsip keadilan, pihaknya mahu pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua cawangan, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga bertindak dengan adil.

“Mana-mana rakyat kita yang perlu bantuan di kampung, jangan pilih kasih, bagi maklumat yang betul kepada kerajaan atau kepada wakil rakyat. 

“Ini prinsip saya pegang selama 35 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, tanyalah kawan-kawan di sini. Sebagai manusia, ramai juga yang tidak suka saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kritikan pembangkang terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini sebagai tindakan yang sengaja ‘membutakan mata’ kerana enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

Hajiji memberi contoh, isu air dan jalan raya yang sering diperkatakan pembangkang ketika ini bukan masalah baharu, sebaliknya diwarisi daripada kerajaan sebelum ini berikutan beberapa tindakan tidak wajar yang dilakukan mereka.

Katanya, ia termasuk menukar syarikat konsesi sedia ada dengan syarikat lantikan mereka hingga kerajaan terpaksa membayar ratusan juta pampasan berikutan penamatan konsesi syarikat sebelum ini.

“Mereka sudah diberi kepercayaan, tapi apa mereka buat dua tahun setengah memerintah melainkan membalas dendam dengan memotong kontrak yang dilulus kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Masalah air dan jalan raya sekarang, apabila mereka ambil alih kerajaan, tiada lain dibuat selain memotong kontrak yang sudah ada perjanjian mengurus loji air atau jalan di kampung.

“Akibat pembatalan yang mereka buat itu, kerajaan terpaksa bayar beratus juta kepada konsesi ini. Mereka lantik kontraktor baharu dan itulah jadi tidak ketentuan. Contohnya, air paip masin di Sandakan, itu kontraktor lantikan mereka.

“Tapi, dalam media sosial kata GRS gagal. Siapa sebenarnya yang gagal, merekalah yang gagal. Sebab itu ketika mereka bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka kalah,” katanya.

Hajiji menyifatkan pembangkang hanya pandai bercakap besar dan 
menyalahkan kerajaan sekarang tanpa mempedulikan apa yang dilakukan mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya keinginan pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah mimpi.

Beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai untuk memilih parti atau gabungan parti yang benar-benar mampu membawa Sabah ke arah kemajuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan