KUALA LUMPUR: Pembayar cukai disaran menyemak status sekatan perjalanan mereka lebih awal sebelum membuat perjalanan ke luar negara bagi mengelak tekanan pada saat akhir kepada mereka yang mungkin ‘tersekat’ di pintu keluar masuk negara akibat tunggakan cukai.
Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Azaharuddin Mohd Ali, berkata pembayar cukai perlu sentiasa mengemas kini butiran peribadi dan maklumat lain menerusi pangkalan data LHDN bagi memudahkan agensi itu memaklumkan sebarang tunggakan cukai atau sekatan perjalanan yang dikenakan.
“Kebanyakan pembayar cukai tidak mengemas kini maklumat, sebab itu LHDN menguar-uarkan kepada mereka untuk sentiasa mengemas kini butiran peribadi sebab segala maklumat yang kita salurkan hanya yang terkini ada di pangkalan data LHDN.
“Pembayar cukai disaran melayari portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my/ dan kemas kini maklumat peribadi terkini seperti e-mel, alamat rumah dan nombor telefon,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program terbitan Bernama Radio dengan topik ‘Klinik Cukai – Sekatan Perjalanan: Apa Perlu Dilakukan?’ hari ini.
Azaharuddin berkata, LHDN adalah agensi kerajaan yang menguruskan cukai langsung dan pihaknya boleh mengambil tindakan berkenaan melalui Arahan Potongan Gaji (Arahan CP38), selain mengenakan tindakan mahkamah serta sekatan perjalanan terhadap mereka yang mempunyai tunggakan cukai.
Beliau berkata, sekatan perjalanan itu adalah langkah terakhir yang dikenakan bagi mewujudkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab, selain bagi memastikan tidak wujud ketirisan cukai serta memberi keadilan kepada pembayar cukai yang lain.
Pada masa sama, katanya, sekatan perjalanan itu boleh dibatalkan segera selepas pembayar cukai menyelesaikan bayaran tunggakan mereka secara sekali gus pada waktu itu secara dalam talian di portal MyTax menerusi butang ‘Sekatan Perjalanan’.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk membayar tunggakan cukai secara sepenuhnya boleh berbincang dengan LHDN untuk mendapat kebenaran bagi pelepasan sementara mengikut tempoh dipersetujui.
“Kita pun tahu kadang-kadang mungkin pembayar cukai yang ingin keluar negara atas faktor mendesak, contohnya kematian saudara di luar negara, jadi kita ada pertimbangan sewajarnya.
“LHDN rasional, ada budi bicara dan kita tidak terlalu kejam sampai minta bayaran penuh. Jadi, kita ada pertimbangan iaitu pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN untuk mendapat persetujuan dan kita akan berikan pelepasan sementara kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, pembayar cukai dinasihat tidak culas membuat bayaran tunggakan secara ansuran yang dipersetujui.
Katanya, semakan status sekatan perjalanan boleh dibuat menerusi portal Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/.
– BERNAMA