Merdekakan diri dengan menjauhi perkara tentang kebencian kaum, fitnah dan buli siber

Date:

Share post:

PUTRAJAYA: Menjauhi perbuatan yang menimbulkan kebencian antara kaum, memfitnah, menggunakan kata-kata kesat dan membuli di media sosial merupakan langkah memerdekakan diri yang diunjurkan dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata langkah itu bukan sahaja membawa kebaikan kepada diri sendiri malah dapat mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.

“Apabila kita guna platform media sosial untuk menghentam, memfitnah, menggunakan kata-kata kesat serta membuli, ini merupakan satu perkara mungkar yang menunjukkan individu tersebut dikuasai oleh nafsu, syaitan dan iblis.

“Kalau dia berjaya meninggalkan perbuatan tersebut, maknanya dia membebaskan diri daripada terus dibelenggu perbuatan batil dan berubah kepada gaya hidup berpaksikan akidah, syariat dan akhlak sebagai cara hidup Islam sebenar,” katanya kepada Bernama.

Mohd Na’im berkata pembebasan diri daripada perbuatan tidak baik itu sekali gus membantu kerajaan dalam mengatasi penyebaran jenayah serta maklumat berbahaya berunsur provokasi di media sosial. 

Mohd Na’im berkata Islam sendiri mengajar umatnya untuk berubah daripada kemungkaran kepada amalan yang baik serta hanya mentauhidkan Allah SWT semata-mata dan mengikut ajaran dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Dari sudut ajaran Islam, kemerdekaan sebenar ialah membebaskan diri masing-masing daripada cengkaman lain bukan sahaja penjajah tapi dalam konteks Islam, membebaskan diri daripada amalan buruk dan sia-sia serta amalan yang boleh mencetuskan perpecahan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua warga agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menghayati makna kemerdekaan negara dengan menghargai para pejuang terdahulu yang berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajah.

Menurut beliau, mengisi makna kemerdekaan antara lain membawa maksud mengangkat kembali darjat umat dalam segala aspek merangkumi ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

“Kita mesti berjuang bersama-sama untuk menyelamatkan umat Islam daripada kemunduran jiwa dan akhlak serta membangunkan minda dan kualiti peradaban insan,” katanya. 

Justeru, beliau telah meminta semua agensi berkenaan termasuk institusi masjid dan surau untuk menggerakkan program penghayatan kemerdekaan berlandaskan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ sempena Bulan Kebangsaan.

Pada 5 Jun lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 berkata pemilihan tema itu bagi menzahirkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Tanam pendidikan Islam di awal usia kanak-kanak agar tidak lari dari landasan sebenar – Zahid Hamidi

"Sebab itu kalau ilmu itu menyesatkan, ditunggang, apatah lagi agama itu dijadikan sebagai pacuan untuk mencapai cita-cita politik, Allah tak akan terima … dan kita mesti membetulkan situasi itu daripada terus berlaku,"

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor