KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf peranan yang ditunjukkan oleh pengamal media di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menggambarkan hubungan bersama pengamal media di Sabah ibarat berpisah tiada dalam membantu memasar dan mempromosi agenda percukaian nasional.
“Melalui kerjasama ini pelbagai mesej dan informasi banyak membantu menyebarluaskan maklumat perkhidmatan percukaian terkini dengan skala yang besar dalam tempoh yang singkat.
“LHDN turut tidak menafikan peranan media sangat penting dalam penyaluran maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat hingga ke akar umbi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea Ketua Pegawai Eksekutif Hasil Bersama Media Sabah di sini, pada Khamis.
Abu optimis kesinambungan dari program seumpama akan terus menjadi inisiatif LHDN untuk mengiktiraf, menghargai dan meraikan sokongan serta kerjasama berterusan yang diberikan.
Majlis yang diadakan selari dengan tema Hari Wartawan Nasional “Etika Teras Kewartawanan Mapan” itu meraikan hampir 40 pengamal media Sabah.
Dalam majlis sama Abu berkata, portal MyInvois yang dilancarkan pada 1 Ogos lepas merupakan usaha LHDN dalam pemodenanan pentadbiran percukaian negara.
“Portal ini adalah gerbang utama kepada sistem e-Invois yang diinovasikan untuk mengubah dimensi dan corak pentadbiran cukai semasa yang menyokong kepada usaha mendigitalisasikan ekonomi masa depan.
“Pembayar cukai yang berjaya melaksanakan e-invois mengikut garis masa yang ditetapkan layak menuntut elaun modal dipercepatkan bagi perbelanjaan ICT yang berkaitan” katanya.
Menurutnya, LHDN terus komited memastikan sistem MyInvois kekal berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan pembayar cukai melalui proses penambahbaikan serta penyesuaian berterusan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar dan Pengarah Negeri HASiL Sabah, Azrul Hisham Shamsudin.