KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat jenazah ghaib ke atas pemimpin Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh, di tiga masjid utama membabitkan Masjid Negara di Kuala Lumpur dan Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, selepas solat maghrib malam ini.
Ketua Pengarahnya, Datin Hakimah Mohd Yusoff, berkata justeru orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib itu sebagai tanda solidariti umat Islam di negara ini terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis Israel.
“JAKIM amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh yang kembali ke rahmatullah, semalam.
“Almarhum adalah seorang tokoh yang disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama syuhada serta golongan yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Haniyeh syahid dalam serangan udara ke atas kediamannya di Tehran, Iran, awal pagi semalam, ketika berada di negara itu untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharunya, Masoud Pezeshkian, kelmarin.
Pengawal Revolusi Iran menyatakan Haniyeh terkorban bersama seorang pengawalnya dalam serangan itu, manakala Hamas dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa kumpulan pejuang terbabit berkabung atas kematian pemimpin berkenaan yang dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran.’