Kerajaan Sabah beri sokongan dan kerjasama kekang pencerobohan

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus beri sokongan penuh dan kerjasama padu kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan semua pasukan keselamatan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan militan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu juga bagi mengekang anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) amnya dan ESSCOM khasnya terus giat mengadakan operasi-operasi bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada dibolosi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengganggu gugat ketenteraman Sabah. 

“Sejajar dengan pemerkasaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), saya amat menyokong inisiatif-inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZone di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan bersama mesyuarat itu. 

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada pada kedudukan lokasi yang sangat strategik dengan pantai timur Sabah sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu kerana hampir dengan EAGA yang lain.

Beliau berkata, pewujudan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur juga akan menambah merit dan keunggulan negeri Sabah. 

“Perkembangan-perkembangan positif ini wajar diambil peluang kerana kebanjiran manusia dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini. 

“Kerajaan percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai sub-rantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang.

“ESSCOM menjadi jenama keselamatan (brand) yang dijadikan rujukan oleh pihak luar negara untuk membuat pelaburan,” jelasnya.

Menurutnya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui KDN amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Katanya, kerajaan negeri komited memastikan situasi keselamatan di sempadan maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan daratan khususnya di ESSZone dalam keadaan baik dan terkawal. 

Hajiji berkata, keluasan maritim yang besar di Sabah adalah penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi kepada negara Malaysia sebagai sebuah wilayah perairan yang tidak lepas dari ancaman keselamatan serta aktiviti jenayah merentasi sempadan.

“Sehubungan itu, penyelarasan yang jitu antara kerajaan negeri dengan KDN melalui semua agensi di bawahnya seperti ESSCOM akan sentiasa digembleng bagi menangani isu-isu berkenaan di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya.

“Ia melalui langkah-langkah proaktif dan strategik bagi memelihara kedaulatan, mencegah dan membanteras ancaman keselamatan dari terus berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji berharap Mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu dapat mencapai muafakat dalam meningkatkan lagi pelaksanaan operasi keselamatan dan program mensejahterakan rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat di wilayah ini.

Sementara itu, Hajiji dan Saifuddin turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) di Menara Kinabalu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi; Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Soh; dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Ringgit teruskan momentum positif

Ringgit meneruskan momentum positif baru-baru ini untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Jumaat

PM Anwar ajak orang ramai hadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI

program itu ialah inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama dua tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi

JPN di fasa akhir muktamadkan penukaran mykad generasi baharu

penggantian kad pengenalan struktur baharu itu bertujuan memastikan kad pengenalan bakal dikeluarkan JPN kelak mempunyai ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkat selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini

Sabah memerlukan 7000 doktor bagi mencapai nisbah 1 doktor setiap 500 penduduk

Kalau sekarang ini, dengan jumlah itu satu doktor jaga 1,400 orang. Untuk mencapai nisbah satu doktor 500 orang mengikut WHO kita perlu 7,000 doktor di Sabah