KUALA LUMPUR: Semua pelajar Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu adalah susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan rusuhan di Bangladesh yang bertambah getir sejak kebelakangan ini.
“Sama ada mereka (pelajar) bantuan kerajaan atau pelajar swasta, kita akan bantu dan Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat kalau perlu menyewa pesawat untuk bawa mereka pulang.
“Ketika ini keselamatan anak-anak Malaysia jadi keutamaan kita. Beberapa hari pertama itu nampak keadaan mungkin terkawal, tetapi sekarang ini dari maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai kalau mereka dibawa pulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di sini pada Isnin.
Pelajar universiti di Bangladesh mengadakan protes menentang kuota yang tidak saksama dalam perkhidmatan awam.
Demonstrasi itu bertukar ganas pada Isnin lalu, dengan pertembungan dengan pihak berkuasa setakat ini telah meragut lebih 100 nyawa.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementeriannya bekerjasama dengan AirAsia bagi membawa pulang sekurang-kurangnya 192 rakyat Malaysia di sana.
pesawat khas ‘wide body’ dengan kapasiti 350 penumpang akan diterbangkan ke sana dan dijadualkan tiba di lapangan terbang di Dhaka pada jam 10 pagi (waktu tempatan).