Semua perkara telah saya kaji – Johari

Date:

Share post:

Keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu dibuat selepas semua perkara dikaji, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Ketika memberikan petua mengenainya di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan untuk kekal dengan keputusan itu yang telah dimaklumkan melalui surat kepada Ketua Whip Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 9 Julai lepas.

“Saya sebut saya bukan posmen. Bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya…saya akan memastikan saya kaji semua sekali.

“Saya baca kenyataan-kenyataan dalam pembinaan pindaan yang dibuat tentang Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Saya ambil keputusan, keputusannya kekal seperti yang telah saya maklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya.

Melalui surat kepada Ronald mengenai keputusan terhadap notis pemakluman kekosongan kerusi lima Ahli Parlimen Bersatu, Johari memaklumkan Perlembagaan Bersatu telah menafikan hak lima Ahli Parlimen itu sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Dalam surat berasingan mengenai keputusan tidak mengosongkan kerusi Parlimen Labuan, Johari memaklumkan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak sedang berbicara dalam kes mahkamah susulan Ahli Parlimen berkenaan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman bertindak menyaman Bersatu.

Selain Suhaili, lima Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Terdahulu, Ronald bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 99 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi meminta petua Johari berhubung keputusan mengekalkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu sebagai wakil rakyat selepas mereka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Ronald, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata keputusan menentukan status keahlian keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan dalam Bersatu adalah di bawah parti tersebut dan bukannya di bawah bidang Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Sementara itu RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mempertahankan keputusan Johari dengan berkata pindaan parti Bersatu tidak boleh digunakan secara retrospektif.

“Pindaan Perlembagaan parti Bersatu dibuat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan pindaan-pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat sebelum itu.

“Pada hemat saya perkara itu adalah sesuatu yang telah diputuskan dan tidak boleh dicabar kerana Speaker telah mengambil kira bahawa pindaan perlembagaan parti Bersatu dibuat selepas PRU dan selepas keenam orang itu menyatakan sokongan kepada Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar),” katanya.

Percanggahan pendapat antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyebabkan sesi Dewan Rakyat terhenti hampir 30 minit ketika perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan