JELEBU: Pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, amat dinantikan penjawat awam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenaikan paling tinggi dalam sejarah itu bukti komitmen kerajaan kepada penjawat awam.
Katanya, biarpun terlewat dua tahun berdasarkan perjanjian kerajaan dengan penjawat awam apabila skim gaji perlu dikaji setiap 10 tahun, penantian panjang itu melegakan mereka.
“Kelewatan itu disebabkan perubahan kerajaan sebelum ini dan hari ini Perdana Menteri membuat keputusan yang mengejutkan.
“Biarpun dalam keadaan kedudukan kewangan kurang memuaskan, Perdana Menteri komited untuk menghargai jasa kakitangan awam seluruh negara,” katanya ketika ditemui media pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di pekarangan Pejabat Parlimen Jelebu di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad.
Ahmad Zahid berkata, susulan kenaikan gaji bermula Disember tahun ini, kakitangan awam diharap dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi perkhidmatan.
Katanya beliau yakin kakitangan awam tidak ada masalah untuk berbuat demikian, seterusnya melipat ganda usaha dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kenaikan gaji itu juga tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) atau pun gula-gula PRK.
“Hari ini, 1 Mei adalah hari pekerja, PRK itu pula 11 Mei kerana apa juga yang akan dibuat kerajaan akan tetap dipersoalkan oleh pihak tertentu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan seperti kebiasaan biarpun UMNO tidak bertanding dalam PRK itu, parti itu akan tetap dijadikan sasaran oleh pihak lain termasuk dalam soal hubungan dengan DAP dengan isu terbaharu berkaitan logo.
Katanya, isu seperti ini bukan pertama kali berlaku sebaliknya pernah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri tahun lalu.
Mengenai tindakan MCA yang meneruskan hasrat tidak membantu kempen PRK, Ahmad Zahid berkata, tindakan MCA itu dipercayai bersifat sementara.