Sebagai panglima UMNO Sabah, Saya akan pertahankan DUN Lamag – Bung Moktar

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak berhasrat melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Kerusi disandangnya sejak 2020 adalah sebahagian daripada tiga kerusi DUN, selain Sukau dan Kuamut dalam Parlimen Kinabatangan yang turut disandangnya sejak beberapa penggal.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah bersama media dan anak yatim, di sini, malam tadi, Bung Moktar berkata sebagai ‘panglima’ atau Ketua UMNO Sabah, adalah tidak wajar untuk beliau mengundurkan diri.

Bagaimanapun, sebelum itu, beliau menyatakan kesediaan untuk memberi laluan kepada muka baharu, dengan syarat penggantinya itu mesti menjadikan UMNO lebih kuat di Sabah berbanding di bawah pimpinannya.

“Kalau ada jaminan UMNO Sabah akan bertambah kuat kalau bukan di bawah pimpinan saya, saya boleh lepaskan (kerusi). Tapi, sebagai ketua panglima UMNO Sabah, saya rasa tidak patut ‘gostan’ (berundur),” katanya.

Pada PRN16 Sabah, 26 September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi DUN Lamag atas tiket Barisan Nasional (BN) yang pertama kali ditandingkan (kerusi baharu) dengan memperoleh 661 majoriti dalam pertandingan enam penjuru.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berkata UMNO Sabah akan mengemukakan beberapa muka baharu untuk menggalas misi parti memenangi sebanyak mungkin kerusi yang akan ditandingi pada PRN17 nanti.

“Memang ada muka baharu, tapi saya belum boleh dedahkan sebab kita masih tapis dan minta mereka turun padang jumpa pengundi supaya rakyat tahu siapa calon mereka.

“Kita akan timbang sebaik mungkin nanti sebab hakikatnya politik memerlukan proses yang panjang dan kita perlu ada muka baharu.

“Kriteria yang kita tetapkan ialah mereka mestilah disukai rakyat, boleh menang dan berintegriti, tidak melompat dan tidak materialistik,” katanya.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah tidak menggunakan akuan bersumpah (SD) sebagai pendekatan memastikan wakil rakyatnya tidak berpaling tadah kerana ia bukan jaminan yang boleh menghalang perbuatan itu.

Sebaliknya, beliau berkata bakal calon hanya perlu menyatakan taat setia dan berjuang dengan hati yang tulus kepada parti sebagai ikatan untuk terus kekal bersama UMNO walau dalam keadaan apa sekalipun.

Mengenai gabungan dengan parti lain, Bung Moktar berkata UMNO Sabah sedia menimbang kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH) Sabah jika ia dilihat tidak memudaratkan UMNO.

“Saya sudah kata, kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti, kecuali dengan parti yang suka ingkar terhadap janji,” katanya.

Sebelum ini, Bung Moktar juga menyatakan kesediaan UMNO Sabah untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) bagi berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Bila Pendidikan Hilang Jiwa

Kita sedang menyaksikan zaman di mana sekolah tidak lagi menjadi tempat paling selamat di dunia seorang anak.
 Dulu,...

“Sabah for Sabahans” Antara Slogan, Identiti dan Tuntutan Menjelang PRN 2025

Pengenalan: Dari Slogan ke Isyarat Politik Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN Sabah 2025), slogan “Sabah for Sabahans”...

Belanjawan MADANI 2026: Sabah Dihargai, Sabah Dibangunkan

Ada sesuatu yang berbeza dalam Belanjawan MADANI 2026.Kali ini, bukan sekadar deretan angka yang dibacakan di Parlimen —...

Diplomasi Malaysia di antara Hikmah dan Perjuangan Gaza

Dalam kehangatan isu Gaza dan kezaliman rejim Zionis yang tidak berkesudahan, Malaysia sekali lagi tampil memainkan peranan penting...