Kota Kinabalu – Sabah telah berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu hasil kerja keras semua pihak iaitu jauh melepasi angka yang disasarkan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, nilai pelaburan mencecah RM33 bilion, melibatkan beberapa syarikat pelabur dari dalam dan luar negara.
Katanya, kejayaan ini adalah juga kejayaan anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan komitmen dan kerja keras yang membanggakan.
Beliau turut menyentuh pencapaian Kerajaan Negeri dibawah pimpinannya dalam tempoh dua tahun, antaranya ialah pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan pihak Petronas yang berprinsipkan ‘Greater Say, Greater Participation and Greater Revenue’.
Selain itu katanya, Kerajaan turut meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah dan RUU Bekalan Gas 2023, yang memberi kuasa sepenuhnya kepada Sabah dalam pengendalian bekalan gas, termasuk operasi tenaga elektrik mulai 1 Januari 2024.
“Perlu diingat, bahawa kejayaan ini membuktikan sokongan dan keprihatinan Perdana Menteri terhadap tuntutan yang kita kemukakan berkaitan hak-hak Sabah seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hajiji turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar yang telah memperuntukkan RM6.5 bilion untuk pembangunan negeri Sabah dalam Belanjawan Persekutuan yang dibentangkan semula.
Katanya, sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah memerlukan peruntukan yang besar untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri yang masih jauh tertinggal.
Menurutnya, peruntukan RM6.5 bilion itu sebenarnya tidak termasuk beberapa inisiatif lain, antaranya merangkumi pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah/Sarawak sebanyak RM20 bilion, dan RM1 bilion lagi untuk membangunkan kawasan sempadan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
Hajiji juga yakin Malaysia mampu bangkit kembali menjadi negara yang disegani dan dihormati dibawah pimpinan dinamik Anwar.
BACA JUGA: