Jika ekonomi perlahan, hasil cukai Malaysia akan terjejas

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR – Malaysia berkemungkinan besar mencatat pertumbuhan ekonomi lebih sederhana pada tahun ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang 4.1 peratus daripada 8.7 peratus pada 2022, kata Moody’s Analytics.

Ahli Ekonominya, Denise Cheok, berkata prospek juga bagaimanapun masih belum jelas dan sasaran perolehan hasil cukai mungkin terjejas jika pertumbuhan KDNK lebih rendah.

“Risiko utamanya adalah ekonomi global dan boleh menjejaskan permintaan eksport Malaysia. Selain itu, trajektori ekonomi China juga tidak menentu dan ia rakan eksport kedua terbesar Malaysia serta destinasi utama bagi komoditi dan elektronik.

“Potensi pemulihan permintaan pengguna di China agak cerah, namun peralihan daripada dasar sifar COVID-19 agak tidak menentu berikutan isi rumahnya terpaksa mengharungi peningkatan jangkitan COVID-19 itu,” katanya.

Cheok berkata, cabaran lain adalah unjuran pengurangan hasil syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS tahun ini berikutan penyusutan harga minyak.

Moody’s Analytics menganggarkan minyak mentah Brent menyederhana kepada kira-kira AS$90 setong tahun ini berbanding AS$114 setong pada pertengahan 2022.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan semakan semula Belanjawan 2023 yang memperuntukkan RM388.1 bilion, iaitu RM289.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion untuk pembangunan.

“Biarpun membabitkan perbelanjaan lebih besar, Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan defisit bajet kepada lima peratus KDNK daripada 5.5 peratus dalam Belanjawan 2023 sebelum ini,” kata Cheok.

Beliau juga menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai pembentangan rancangan besar untuk mengurangkan defisit fiskal sambil mengekalkan subsidi serta menurunkan cukai untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Namun, butiran mengenai bagaimana untuk mencapainya agak kabur. Tidak jelas bilakah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu akan diperkenalkan semula dan bagaimana kerajaan mahu memulakan langkah untuk mengekang peningkatan hutang,” katanya.

Justeru, beliau menganggap pelaksanaan semula GST akan membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit itu.

Bagaimanapun, Anwar menerusi Belanjawan 2023 itu menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan untuk melaksanakan semula cukai penggunaan secara meluas berikutan kenaikan harga bagi kategori tertentu, termasuk makanan.

Selain itu, Cheok berkata cukai pendapatan meliputi hampir 40 peratus daripada hasil kerajaan dan pengumuman cukai pendapatan individu dalam julat cukai pendapatan lebih tinggi berpendapatan tahunan melebihi RM230,000 akan dinaikkan.

Namun, katanya, ini tidak mungkin dapat menampung potongan cukai bagi kumpulan pendapatan lain.

Cukai lain yang diumumkan termasuk memperkenalkan cukai barangan mewah serta duti eksasis ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan bagi rokok elektronik dan vape.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PDRM mahu bina PULAPOL serba moden di Sabah

PDRM dalam rancangan jangka panjang akan memindahkan PULAPOL Kota Kinabalu ke satu kawasan di Tuaran yang mana tapak bagi pembinaannya sudah dikenal pasti dan kita hanya menunggu bajet dari kerajaan bagi merealisasikan rancangan ini

JAKIM pertimbang cadangan untuk wajibkan sijil halal bagi restoran

Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda

Kerajaan Sabah tubuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini adalah disebabkan oleh kes-kes meluas kanak-kanak yang dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) yang menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, perkara ini disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka

Keunikan Sabah dari sudut perpaduan perlu dipertahankan

Ini adalah aset yang sangat penting khususnya di Sabah dan hasil kepelbagaian ini lah yang menyumbang dalam membangunkan negeri ini serta turut membantu dalam mengekalkan keamanan