Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2019 membenarkan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) berpolitik dalam dan di luar kampus serta pelaksanaan Undi 18, menjamin kebebasan berpolitik anak muda.
Ia titik tolak dan pemangkin utama pengukuhan kebebasan berpolitik kepada pelajar IPT, sekali gus perkembangan positif kepada pelaksanaan demokrasi apabila penyertaan rakyat yang lebih inklusif.
Ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjamin aktivisme politik pelajar boleh dijayakan tanpa sebarang sekatan dan halangan. IPT diminta bekerjasama dan menyokong penyuburan kebebasan berpolitik.
Meskipun kebebasan berpolitik sering dikaitkan pembabitan pelajar dalam parti politik termasuk mengundang ahli politik ke kampus, terbabit sebagai ahli, memegang jawatan dan menjadi calon pilihan raya, kebebasan berpolitik lebih luas.
Kebebasan berpolitik boleh difahami melalui pelbagai dimensi sama ada politik kepartian atau melangkauinya. Hasil temu bual kajian penulis mengenai kebebasan berpolitik pelajar di universiti awam (UA), ia umumnya merujuk kebebasan bersuara yang menjadi elemen utama. Dalam kata lain, tanpa kebebasan bersuara, tidak wujud kebebasan berpolitik.
Kefahaman ini selari penegasan Perdana Menteri agar pelajar diberikan kebebasan bersuara oleh IPT. Dalam konteks ini, pelajar bebas menyuarakan pandangan termasuk mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri.
Dalam usaha menjayakan kebebasan berpolitik di kampus, soal kebebasan bersuara pelajar adalah tonggak perlu diutamakan. Pelajar boleh menyuarakan pandangan dan kritikan membina dalam memperjuangkan isu mereka dan masyarakat awam.
Kepentingan kebebasan bersuara dalam kebebasan berpolitik pelajar boleh dilihat berdasarkan lima faktor.
* Kebebasan bersuara perlu selari hak asasi*
Pertama, kebebasan bersuara pelajar selari hak asasi dijamin Perlembagaan Persekutuan. Pelajar sebagai rakyat wajar menikmati dan mengamalkan kebebasan bersuara seperti kumpulan lain dalam masyarakat. Pelajar memperjuangkan kebebasan bersuara akan membentuk masyarakat demokratik dan warga negara baik.
Kedua, kebebasan bersuara antara keutamaan
kerajaan sekarang. Malah, pelajar boleh menggunakannya untuk mengkritik kerajaan tetapi tidak boleh disalahgunakan bagi tujuan menghina dan mencerca hingga mengganggu ketenteraman awam.
Ketiga, ia penting bagi memastikan idea dan pandangan pelajar diambil kira dalam sebarang pembuatan keputusan di universiti ditegaskan dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 Menteri Pendidikan Tinggi bahawa pelajar akan diberikan banyak tanggungjawab dalam ruang membuat keputusan. Kini wakil pelajar ditempatkan dalam pelbagai jawatankuasa di universiti bagi memastikan suara mereka didengari dan diambil kira dalam pembuatan keputusan.
Keempat, kebebasan bersuara akan menjadikan pelajar lebih bertanggungjawab dan cakna sama ada dalam soal kebajikan atau terhadap isu semasa terkait kepentingan rakyat.
Kelima, ia mengajar pelajar memahami perbezaan pandangan dan belajar mengurus kepelbagaian seperti bersetuju untuk tidak bersetuju serta bermuafakat demi kepentingan bersama.
Melalui sikap toleransi ini, ia dapat mematangkan menjayakan kebebasan berpolitik pelajar. Pemerkasaan mahasiswa menjadi antara fokus utama kementerian dan universiti mesti ditunjangi pelajar sendiri melalui kebebasan bersuara dipertanggungjawabkan.
Perkembangan teknologi dan ledakan maklumat sebenarnya memudahkan lagi pelajar menjayakan kebebasan bersuara. Mereka boleh menggunakan platform media sosial bagi mengutarakan pandangan dan kritikan.
Berbanding pelajar dahulu hanya menggunakan platform tertentu seperti Speaker Corner, kini mereka mempunyai banyak kelebihan dan ruang. Melalui kuasa tular, sesuatu pandangan dan kritikan boleh menarik perhatian ramai.
Satu asas perlu ditekankan dalam kebebasan bersuara adalah melihatnya dari sudut tanggungjawab, bukan hak. Ini kerana jika disorot dalam konteks tanggungjawab, pelajar akan menggunakannya lebih berhati-hati. Jika dilihat dari sudut hak, dikhuatiri akan menjadikan pelajar menyalahgunakannya sebagai kelebihan bersifat mutlak dan tanpa sempadan.
Dalam era keterbukaan apabila kerajaan, kementerian dan universiti lebih menghargai kebebasan berpolitik pelajar, kebebasan bersuara wajar menjadi indikator penting. Tanpa kebebasan bersuara, kebebasan berpolitik pelajar tidak dapat dijayakan dengan berkesan.
Penulis percaya IPT sudah memulakan langkah menyantuni suara pelajar dengan membuka banyak ruang perbincangan termasuk menempatkan perwakilan pelajar di beberapa jawatankuasa penting.
Namun, pelajar juga perlu memanfaatkan kebebasan bersuara bagi menjayakan kebebasan berpolitik sebaik mungkin. Sudah tentu kebebasan bersuara ini mesti dipertanggungjawabkan dengan pegangan dan nilai bersama memandu mereka bertindak dengan kematangan dan ketertiban.
Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
BACA JUGA: