Tukar pengurusan kanan Sapura antara syarat untuk suntikan dana diberikan – PM Anwar

Date:

Share post:

PUTRAJAYA: Pengurusan kanan Sapura Energy Bhd (SEB) perlu ditukar dan diganti baharu, antara syarat ditetapkan oleh kerajaan sebelum suntikan dana RM1.1 bilion diberikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, suntikan dana itu bukan langkah untuk menyelamatkan individu tertentu atau pengurusan tertinggi syarikat, sebaliknya untuk membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan.

“Ini bukan bailout atau menyelamatkan syarikat besar, pengurusan kanan semua mesti keluar (diganti) itu cara kita.

“Mesti diganti dengan pengurusan baharu dan kalau ada permasalahan yang membabitkan keperluan siasatan, jadi ini pertimbangan kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).

Dalam satu kenyataan, SEB menjelaskan pihaknya memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.

MDH sebagai sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

Anwar berkata, suntikan sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.

Perdana Menteri menjelaskan, suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.

“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.

“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 bilion, jadi ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penstrukturan semula SEB sudah melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah manakala suntikan kerajaan bukannya geran tetapi pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas (O&G) yang strategik untuk ekonomi negara.

“Suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.

“Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan. Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...

Tangisan Banjaran: Tragedi UPSI di Gerik dan Takziah Buat Negara

Pada pagi 9 Jun 2025, negara sekali lagi diselubungi duka. Tragedi yang meragut 15 nyawa mahasiswa Universiti Pendidikan...

Pasca Mahathir dan Politik Perkauman: Melayu Tidak Lagi Mahu Diselamatkan, Mereka Mahu Dimajukan

“Yang lemah bukan Melayu. Yang lemah ialah pemimpin yang terus menggunakan Melayu sebagai alasan untuk mengekalkan kuasa.” Tun Dr....