Kementerian kaji dasar kenakan hukuman kepada pemilik kargo

Date:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji dasar untuk mengenakan hukuman terhadap pemilik yang membenarkan kargo mereka dibawa melebihi muatan di atas jalan raya, berbanding hanya kepada pemandu dan pengendali syarikat pengangkutan ketika ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata di bawah Seksyen 57(3), Akta Pengangkutan Awam Darat, pengendali syarikat pengangkutan bukan saja boleh digantung lesen jika melakukan kesalahan itu, malah boleh didakwa dan didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, selain kenderaan mereka dilucut hak.

“Memang ada beberapa kes dibawa ke mahkamah untuk memberikan mesej kuat kepada pengendali ini supaya tidak membawa muatan berlebihan.

“Kita sedang melihat dasar, bukan saja pemandu dan pemilik syarikat pengangkutan dikenakan tindakan, malah pemilik kargo juga bertanggungjawab dan perlu menghadapi hukuman jika membenarkan kargo mereka dibawa dengan muatan berlebihan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada pengendali syarikat pengangkutan yang membawa muatan berlebihan, sehingga ada yang menyebabkan kematian boleh didakwa di mahkamah dan kenderaan mereka dilucut hak sepenuhnya.

Menjawab soalan asal Shamshulkahar mengenai tindakan tegas kementerian dalam mengurangkan kemalangan maut membabitkan kenderaan berat, yang mana 1,457 kes kematian direkodkan sejak Januari 2019 hingga November 2024, Loke berkata sebanyak 247 lesen pengendali digantung tahun lalu akibat gagal audit pematuhan Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP), yang menyebabkan kemalangan atau terbabit dalam ketidakpatuhan berkaitan.

Menurutnya, umlah itu meningkat, berbanding 101 pada 2023 dan 94 pada 2022, manakala hanya lapan lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.

Katanya, kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga menggantung 23 permit kenderaan pada 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya, selain membatalkan tujuh lesen pengendali antara 2022 dan 2024, berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.

“Apabila lesen pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat itu tidak boleh beroperasi.

“Antara syarikat yang lesen pengendalinya digantung, termasuk sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Bila Pendidikan Hilang Jiwa

Kita sedang menyaksikan zaman di mana sekolah tidak lagi menjadi tempat paling selamat di dunia seorang anak.
 Dulu,...

“Sabah for Sabahans” Antara Slogan, Identiti dan Tuntutan Menjelang PRN 2025

Pengenalan: Dari Slogan ke Isyarat Politik Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN Sabah 2025), slogan “Sabah for Sabahans”...

Belanjawan MADANI 2026: Sabah Dihargai, Sabah Dibangunkan

Ada sesuatu yang berbeza dalam Belanjawan MADANI 2026.Kali ini, bukan sekadar deretan angka yang dibacakan di Parlimen —...

Diplomasi Malaysia di antara Hikmah dan Perjuangan Gaza

Dalam kehangatan isu Gaza dan kezaliman rejim Zionis yang tidak berkesudahan, Malaysia sekali lagi tampil memainkan peranan penting...
Exit mobile version