AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan lima juta tetamu ke Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada tahun ini iaitu hampir dua kali ganda daripada 3.7 juta ketibaan yang direkodkan pada 2024. 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group Bo Lingam berkata, sasaran pertumbuhan ini merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai pemacu kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Bagi mencapai matlamat ini, rancangan pengembangan AirAsia bagi 2025 merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada yang terdiri daripada 27 laluan, termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah. 

“Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 2024, AirAsia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah bagi mencapai sasaran lebih tiga juta pelawat dengan menerbangkan sebahagian besar daripada jumlah terbabit dan memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terkemuka yang menyokong kesalinghubungan dan pertumbuhan pelancongan negeri.

“Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan ekosistem pelancongan negeri, syarikat penerbangan ini sedang mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah untuk mengeratkan kerjasama dan menyelaraskan usaha bagi menambah baik sektor pelancongan utama seperti penginapan, pengangkutan dan kemudahan akses, serta meneroka pelaburan strategik untuk memajukan infrastruktur pelancongan negeri.

“Sabah adalah pasaran penting dalam rangkaian AirAsia dan kami berbangga menjadi syarikat penerbangan terkemuka yang menghubungkan rantau ini ke Malaysia dan pasaran antarabangsa utama. 

“Sasaran ini disokong oleh pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran bersasar,” katanya.

Beliau berkata, dengan peningkatan ketibaan pelawat, inisiatif-inisiatif ini berpotensi mewujudkan impak pengganda ekonomi yang besar kepada rantau ini dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong.

“Pertumbuhan kami di Sabah tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang dibina bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan rakan-rakan industri. 

“Untuk mengekalkan momentum ini, kami menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan insentif bersama daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, termasuk hotel dan penggiat pelancongan. 

“Dengan melabur dalam promosi bersama dan menyokong laluan strategik, kita dapat mempertingkatkan manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan untuk Sabah dan mengekalkan trajektori pertumbuhan berterusan,” katanya.

Tambahnya, AirAsia juga akan mambuat pelaburan bersasar dengan menawarkan perkhidmatan Fly-Thru dan memperluaskan laluan utama di pasaran penting seperti Vietnam, India, Indonesia, dan Kazakhstan. 

“Inisiatif-inisiatif ini turut diperkukuh dengan kempen berterusan terhadap pelancong dari China, Hong Kong, dan Singapura. 

“Bersama-sama rakan kongsi, kami berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi global yang berkembang maju, memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Julinus Jimit berkata, rangkaian luas AirAsia dan pelaburan yang berterusan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa. 

“Kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini bagi mempertingkatkan tawaran negeri ini dan memastikan bahawa semua pihak berkepentingan bersedia untuk memenuhi peningkatan ketibaan pelancong hasil daripada daripada inisiatif-inisiatif AirAsia.

“Pada tahun lalu, AirAsia dan STB memeterai kerjasama strategik selama lima tahun untuk meningkatkan industri pelancongan negeri ini dengan memperluaskan rangkaian udara di seluruh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan memperkembang rangkaian ke ASEAN, Asia Utara dan Oceania dari 2024 hingga 2028,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PM Anwar tiba di London untuk lawatan kerja selama lima hari

Mereka juga dijangka membincangkan perkara berkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan

Bantuan SARA dan STR mula diagih esok, peruntukan tertinggi dalam sejarah

Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak

496,541 pelajar akan terima BAP di seluruh Sabah

Diingatkan juga kepada semua pengetua dan guru besar, tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran diambil daripada BAP ini. KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami

Kebijaksanaan dan Hikmah: Permata Agung dalam Memimpin Kehidupan

Seperti ombak yang tidak pernah jemu menghempas pantai, cabaran hidup hadir tanpa henti, menguji keteguhan jiwa dan kecerdikan akal. Di sinilah kebijaksanaan dan hikmah menjadi pelita yang menyinari lorong-lorong gelap perjalanan ini.