2025 : Tahun untuk Sabah meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyatakan komitmen berterusan untuk membangunkan negeri dan mewujudkan lebih banyak kemakmuran ekonomi kepada rakyatnya pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyatakan terima kasih kepada rakyat negeri ini atas sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus yang menerajui negeri ketika ini.

Katanya, perpaduan dan solidariti rakyat berbilang kaum menjadi asas penting yang membolehkan kerajaan meneruskan program pembangunan negeri.

“Marilah kita bersatu dalam solidariti dan mengutamakan perpaduan demi kestabilan politik untuk negeri kita yang tercinta serta memandang ke hadapan untuk memperbaharui komitmen bagi meneruskan kejayaan dan matlamat pembangunan kita.

“Tahun 2025 adalah tahun untuk kita bertindak lebih tegas ke arah meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2025.

Hajiji berkata 2024 menyaksikan pelbagai usaha dilakukan kerajaan dengan sebaik mungkin bagi mengatasi pelbagai cabaran dan kekal di landasan untuk mencapai matlamat yang digariskan.

Katanya, kerajaan pimpinannya berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada 2024, selain menerima RM1.7 bilion pelaburan asing dan domestik sepanjang tahun ini.

“Kita akan meneruskan momentum ini dan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk pertumbuhan ekonomi negeri ini iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan,” katanya.

Dalam tempoh empat tahun lalu, Hajiji berkata Sabah mencapai kemajuan besar bukan saja dalam tiga tonggak utama itu, malah dalam pelaburan modal insan melalui peningkatan pembiayaan biasiswa dan bantuan untuk pelajar.

Menerusi usaha itu, katanya kerajaan negeri meningkatkan peruntukan untuk modal insan kepada RM127 juta pada 2025 untuk memanfaatkan lebih 10,000 pelajar sedia ada dan pelajar baharu yang layak menerima bantuan.

“Kita juga sudah membina 5,000 rumah di bawah inisiatif Rumah Mesra SMJ untuk keluarga berpendapatan rendah di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 3,000 rumah baharu lagi akan dibina pada 2025 membabitkan kos RM250 juta.

“Ini adalah antara inisiatif untuk membasmi kemiskinan tegar di seluruh negeri. Kita yakin usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu legasi air dan elektrik juga akan membuahkan hasil apabila projek seperti empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom, mula beroperasi.

“Ia adalah antara penyelesaian jangka panjang mampan kerajaan negeri untuk pelbagai sumber ttenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri yang memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 2022 melalui SMJ Energy kini mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan.

Menurutnya, dengan pelaburan strategik melalui kepentingan dalam projek minyak dan gas utama seperti Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, Projek Gas Asli Cecair (LNG9) dan Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR), ia berjaya menjana pendapatan melebihi RM2 bilion hasil jualan minyak dan gas kepada negeri ini.

Beliau turut menyatakan harapannya agar tahun 2025 akan membawa komitmen baharu kepada semua untuk lebih bertolak ansur dan bersatu padu.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan perpaduan rakyat dan kestabilan politik sentiasa kekal demi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan berterusan untuk Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia dijangka sekitar 4.9 peratus tahun 2025 – KSI

Penggunaan awam dijangka berkembang lebih pantas, mencerminkan peningkatan perbelanjaan mengurus daripada Belanjawan 2025

Calon SPM berdepan masalah bencana segera hubungi sekolah,JPN

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang SPM berlangsung

Berakhirnya Generasi Alpha dan Generasi Beta bermula

generasi Beta atau Gen Beta adalah golongan kanak-kanak yang lahir di antara 1 Januari 2025 sehingga tahun 2039

Politik Fitnah dan Penyalahgunaan Agama: Luka yang Memudaratkan Bangsa

Politik, ibarat api dalam unggun, seharusnya memberikan cahaya yang menerangi dan kehangatan yang menghidupkan. Namun, apabila ia tidak...