Pelan Strategik Pembugaran USIA 2.0 usaha untuk kembalikan zaman kegemilangan – Sapawi

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Hj Ahmad komited untuk meneruskan usaha mengembalikan kegemilangan pertubuhan itu sepanjang penggal kedua menerajui USIA bagi tempoh 2025-2027.

Beliau berkata langkah itu dilaksana menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2.0 sebagai kesinambungan pelan strategik sedemikian sepanjang tiga tahun ini.

Katanya, ia bermatlamat menggilap, memperelok dan memperbaiki serta mengangkat gerakan dakwah USIA agar terus relevan dengan keperluan masyarakat dan perkembangan zaman.

Selain itu, ia akan menerusikan usaha mempelbagai aktiviti dakwah dan mengukuhkan pengurusan organisasi, aset dan kewangan.

“Sebahagian besar agenda dalam pelan strategik 2022-2024 sudah dilaksanakan dan ia akan diteruskan dalam visi dan misi kita pada penggal kedua ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung, Datuk Iman Ali; Bendahari Agung, Haji Sainuri Yahmin dan Penolong Setiausaha Agung, Zulhaimi Haji Asbi.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan USIA kali ke-38 Sabtu lepas, Sapawi mengekalkan jawatan  Yang Dipertua USIA bagi penggal kedua untuk tempoh 2025-2027.

Sapawi memperoleh 192 undi, menewaskan pencabarnya Dato Hj Mohammad Yusof Apdal yang memperoleh 124 undi. Terdapat enam undi rosak.

Dalam pada itu, Sapawi berkata dalam usaha memperkasa ekonomi USIA, pihaknya akan mewujudkan Koperasi USIA bagi membantu memperkembangkan aktiviti perniagaan.

Katanya, koperasi yang diwujudkan oleh USIA Bahagian Tambunan amat berjaya, justeru bahagian-bahagian lain akan digalak untuk mewujudkan koperasi seumpamanya.

Selain itu, katanya, USIA juga akan meneruskan usaha mewujudkan Yayasan USIA sebagai pemangkin usaha memajukan pertubuhan itu.

“Kita memang ada koperasi dan yayasan sebelum ini, tapi tidak berjalan disebabkan oleh beberapa faktor, justeru kita akan pastikan usaha ini menjadi kenyataan,” katanya.

Sapawi berkata aspek pembangunan sumber manusia akan turut diberi penekanan menerusi program Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary.

Pusat latihan di Kampung Marasinsim, Kota Marudu itu bakal menjadi mercu tanda baharu kejayaan USIA dalam bidang TVET,  khusus untuk pelajar lepasan tahfiz negeri ini.

Apabila beroperasi tahun depan, pusat itu diharap dapat menyediakan pelajar lepasan tahfiz dengan pelbagai kemahiran berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

KWSP sasar lebih ramai individu kerja sendiri sebagai pencarum

Jika kita lihat daripada statistik di negeri ini, masih terdapat 1.2 juta dalam keseluruhan tenaga kerja belum menjadi pencarum KWSP dan kebanyakannya daripada golongan pekerja tidak formal

Kerajaan tidak benarkan kenaikan tarif elektrik – PM Anwar

Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (kerajaan). Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat

𝐉𝐢𝐡𝐚𝐝 𝐋𝐢𝐝𝐚𝐡 𝐝𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐅𝐢𝐭𝐧𝐚𝐡: 𝐒𝐞𝐛𝐮𝐚𝐡 𝐑𝐞𝐧𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧

Di tengah riuh rendah pentas politik, kata-kata menjadi senjata. Ada yang menusuk hati, ada yang membangkit semangat, dan...

Jangkaan hujan, ribut petir pada pagi sambutan Krismas melibatkan empat negeri – MetMalaysia

MetMalaysia mengingatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan aktiviti, serta muat turun aplikasi myCuaca menerusi Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih