KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk terus menyusun semula tadbir urus industri halal bagi memastikan sektor berkenaan menyumbang 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu mampu dilaksanakan dengan langkah strategik yang sudah dirancang dan yakin Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat MPIH Bil 2/2024 bagi menyelaraskan dan memperkasa ekosistem halal negara ke arah yang lebih kondusif, inklusif dan berdaya saing.
“Fokus utama mesyuarat termasuklah memperkukuhkan aspek perdagangan, pensijilan, pelaburan, pembangunan modal insan dan perundangan industri halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dalam mesyuarat itu, beberapa langkah penting telah diputuskan, termasuk cadangan penubuhan Badan Profesional Halal bagi menyelaras dan menentukan hala tuju strategik pembangunan profesional halal di negara ini.
Katanya, penubuhan itu akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan sebelum dilaksanakan.
Langkah lain katanya, mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan MPIH di peringkat negeri bertujuan memperkasa dan memperluas penyertaan pemain industri dalam ekosistem halal melalui pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal dan HIMP 2030 di peringkat negeri.
“Untuk memperkukuhkan pembabitan ekosistem halal di peringkat Persekutuan dan negeri, MPIH mencadangkan penganjuran sesi dialog dan libat urus membabitkan pemain industri, agensi kerajaan dan pemegang taruh melalui Sesi Townhall dan Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP 2030) Open Day pada suku pertama tahun 2025.
“Ia bertujuan memperluas komunikasi dua hala, menyelesaikan isu utama dan mengenal pasti peluang pertumbuhan domestik dan antarabangsa,” katanya.
Berkenaan pencapaian terkini HIMP 2030, Ahmad Zahid berkata, sehingga suku ketiga 2024, pelaksanaan telah mencapai 75 peratus bersamaan RM110 bilion daripada sasaran RM147 bilion.
Katanya, nilai eksport halal berada pada paras RM45 bilion pada tempoh yang sama dengan sasaran RM62 bilion menjelang akhir tahun ini, manakala jumlah pelaburan kumulatif di Taman Industri Halal mencecah RM16.7 bilion daripada sasaran RM18.1 bilion.
Justeru beliau berkata, untuk memastikan kelancaran pelaksanaan HIMP 2030, MPIH akan memperkukuh kerjasama antara semua agensi kerajaan dan sektor swasta.
Bagaimanapun katanya, ketika ini fokus utama adalah membuka pasaran baharu, terutamanya di peringkat antarabangsa, serta mempertingkatkan infrastruktur pelaburan yang lebih bersepadu dan cekap.
Selain itu, penekanan diberikan kepada sinergi dan penyelarasan yang lebih efektif untuk memastikan pembangunan industri halal berjalan lancar.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh ekosistem halal negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global,” katanya.