Peperiksaan SPM berjalan lancar termasuk di negeri yang dilanda banjir

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu berjalan dengan baik termasuk di negeri yang dilanda banjir, dengan perancangan serta koordinasi baik antara kementerian dan agensi bagi memastikan tiada keciciran dalam peperiksaan itu.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan bermula hari ini hingga 5 Disember diteruskan, termasuk di sembilan negeri yang dilanda banjir dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung.

Di TERENGGANU, banjir yang masih berlarutan di negeri itu tidak merencatkan perjalanan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang membabitkan 261 pelajar terkesan banjir, dengan kesemua pelajar telah dibawa daripada pusat pemindahan sementara (PPS) ke pusat peperiksaan alternatif.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata proses membawa pelajar terbabit bermula seawal 6 pagi tadi dengan bantuan pelbagai agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Perjalanan berjalan lancar mengikut prosedur Ops Payung yang dilaksanakan JPNT. Seramai 261 pelajar yang berada di PPS selamat tiba di pusat peperiksaan alternatif pagi ini.

“Ada pelajar yang berpakaian sekolah, baju sukan dan pakaian biasa yang sopan. Apa juga pakaian, mereka tetap ceria dan tampak bersemangat untuk menduduki peperiksaan,” katanya yang turut melakukan tinjauan di pusat peperiksaan alternatif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Nerus pagi tadi.

Jelani berkata sebanyak 18,907 calon SPM termasuk 1,734 calon yang terkesan banjir akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Di KELANTAN, seramai 144 calon SPM di SMK Kuala Krai hadir menjalani peperiksaan meskipun kawasan mereka terjejas akibat banjir.

Sebelum ini, pihak sekolah telah memaklumkan kepada ibu bapa supaya semua calon SPM ditempatkan di asrama sekolah berkenaan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku semasa banjir melanda.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan turut membantu melancarkan perjalanan peperiksaan seperti di Tumpat, dengan membawa 37 guru mengambil kertas soalan peperiksaan di bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat menaiki lori bomba, susulan beberapa laluan ke sekolah terbabit dilimpahi air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Di NEGERI SEMBILAN, Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Putra Hashim berkata kesemua calon hari ini tidak menghadapi sebarang masalah susulan bencana banjir, dengan 28 calon sebelum ini yang ditempatkan di PPS telah pulang ke rumah setelah keadaan pulih di kawasan mereka.

“Jadi secara keseluruhannya ia berjalan lancar, tiada yang terjejas,” katanya dan menambah seramai 16,125 calon menduduki UBBM di negeri ini terdiri daripada calon sekolah daripada KPM, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), persendirian dan swasta.

Peperiksaan SPM 2024 yang bermula hari ini hingga 6 Februari 2025 membabitkan 402,956 calon dan membabitkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Beberapa kawasan di Sandakan mengalami banjir kilat

Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memindahkan empat mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat banjir di kawasan kediaman mereka

Berwaspada hadapi banjir akibat luruan monsun di kawasan berisiko – Fahmi

Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersedia untuk hadapi dan (begitu juga) bagi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Genjatan senjata di Semenanjung Gaza dijadual bermula Ahad ini – PM Qatar

Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) "akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu" dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran

AirAsia menyasarkan 5 juta tetamu diterbangkan ke Sabah tahun ini

Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahu