Malaysia-Korea perkukuh hubungan ke tahap strategik dan komprehensif

Date:

Share post:

SEOUL: Hubungan Malaysia dan Korea Selatan terus diperkukuh ke tahap strategik dan komprehensif meliputi segenap aspek termasuk pelaburan dan perdagangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan pendirian berkenaan ketika mesyuarat dua hala bersama Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden di Yongsan, di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan yang berlangsung selama kira-kira sejam turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Perdana Menteri dalam ucapan ringkas sebelum mesyuarat itu berlangsung berkata, operasi syarikat dari Korea Selatan bukanlah asing di Malaysia.

“Saya dari Pulau Pinang dan Jambatan Pulau Pinang dibina oleh syarikat Korea Selatan.

“Selain itu, Menara Berkembar Petronas dan Menara Merdeka 118 juga membabitkan perusahaan dari Korea Selatan, menjadikan syarikat pembinaan dari republik ini sangat dekat dengan Malaysia,” katanya.

Mesyuarat dua hala itu antara lain membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; infrastruktur; transisi tenaga dan alam sekitar; pertanian dan makanan; hubungan sesama rakyat termasuk pendidikan, pertukaran kebudayaan dan sektor pelancongan; dan isu-isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Selepas mesyuarat dua hala berkenaan, Anwar dan Yoon menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang membabitkan tiga bidang iaitu Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris; Kerjasama dalam Sektor Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS); dan Kerjasama dalam Sektor Pendidikan Tinggi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat Korea Selatan atau ‘chaebol’ pada petang ini.

Selain itu, beliau juga akan memberikan ucapan dalam Forum Perniagaan yang dijangka dihadiri lebih 180 syarikat di Korea Selatan dan mengakhiri jadual lawatan hari ini dengan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Korea Selatan.

Anwar ketika ini sedang dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Korea Selatan.

Ia adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke republik ini sejak menyandang jawatan pada November 2022.

Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

RM75.5 juta bantuan pendidikan diperuntukkan tahun ini untuk laksanakan 13 inisiatif – KM Hajiji

Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini

Tukar pengurusan kanan Sapura antara syarat untuk suntikan dana diberikan – PM Anwar

Mesti diganti dengan pengurusan baharu dan kalau ada permasalahan yang membabitkan keperluan siasatan, jadi ini pertimbangan kita

70 peratus pelajar asrama penuh disarankan memilih aliran STEM – PM Anwar

Kita ada Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sekarang kecerdasan buatan (AI) di merata tempat, tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM

Ascend Airways mulakan operasi pada akhir 2025

Kami komited untuk memperkukuh landskap penerbangan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ACMI yang boleh dipercayai kepada syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, broker sewaan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)