PUTRAJAYA: Peningkatan peruntukan sebanyak 4.1 peratus kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kecukupan dan keterjaminan bekalan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata komitmen kerajaan itu turut membantu meningkatkan produktiviti sektor agromakanan yang akan mensejahterakan rakyat.
Beliau berkata KPKM menerima peruntukan sebanyak RM6.42 bilion berbanding RM6.17 bilion tahun ini dan menegaskan pihaknya yakin belanjawan tersebut mampu memastikan cabaran sektor agromakanan dapat ditangani.
“Melalui peruntukan ini, KPKM akan terus memacu sektor agromakanan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memfokuskan kepada pemodenan dan perkembangan sektor agromakanan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.
“Ini turut melibatkan kelestarian aktiviti pertanian dan pengukuhan infrastruktur pertanian serta menjaga kebajikan golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memastikan kesemua inisiatif Belanjawan 2025 bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ tercapai, Mohamad berkata KPKM akan nemastikan aspek tatakelola yang cekap dan baik untuk memastikan semua golongan sasar KPKM mendapat manfaat.
Menerusi Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan melalui KPKM antaranya peruntukan sebanyak RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri menerusi aktiviti pengeluaran bawang di Perak, ternakan tilapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan insentif sebanyak RM27 juta kepada penternak dan petani untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan.
Selain itu, KPKM turut menerima peruntukan sebanyak RM65 juta bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA