Sabah persiap kontinjen terkuat ke SUKMA XXI Sarawak

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar kontinjen terkuatnya bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak yang dijadual bermula pada 17 Ogos depan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak di pejabatnya, di Menara Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, kontinjen Sabah akan memberi saingan hebat kepada negeri lain termasuk tuan rumah, Sarawak sepanjang temasya sukan itu nanti.

“Kita akan menghantar kontinjen terkuat yang bakal memberi saingan hebat kepada kontinjen negeri lain, termasuk tuan rumah, Sarawak.

“Saya juga yakin penganjuran SUKMA kali ini akan berjalan dengan baik kerana Sarawak boleh melakukan yang terbaik,” katanya.

Kunjungan hormat itu diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain memberi taklimat persiapan Sarawak, Abdul Karim turut menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri majlis perasmian SUKMA XXI Sarawak nanti.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, persiapan SUKMA XXI Sarawak yang hanya tinggal 58 hari lagi sudah cukup teratur.

Katanya, penganjuran acara sukan yang dipertandingkan pada SUKMA kali ini akan diadakan di sembilan bahagian negeri itu.

“Sabah adalah negeri terakhir yang dikunjungi oleh Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI selepas mengunjungi semua negeri termasuk Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Rombongan Abdul Karim turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menterinya, Datuk Rosey Yunus.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Ker; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Felicia Tan; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad.

Hadir sama di pihak Sabah pula ialah Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menterinya, Datuk Fairuz Renddan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mansur Asun.

Kekuatan kontinjen Sabah yang akan menyertai temasya sukan negara itu dijangka diumumkan tidak lama lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan