Pendedahan awal dari peringkat sekolah berkaitan integriti perlu dilaksana – Dr Ismail

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Semangat integriti perlu diajar seawal mungkin termasuk di peringkat sekolah bagi memastikan generasi baharu yang memasuki alam pekerjaan di sektor awam dan swasta kelak bebas daripada sebarang kelakuan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata perkara itu boleh dilakukan dengan memasukkan topik integriti ke dalam mana-mana pembelajaran di sekolah seperti mata pelajaran pendidikan sivik agar murid dan pelajar memahami kepentingan jati diri yang kuat dalam melaksanakan tugas mereka.

“Walaupun ia bukan perkara yang wajib, ia boleh dilaksanakan sebab untuk mendidik semangat integriti ini bukanlah usaha yang memerlukan kos tinggi. Hanya sama ada mahu atau tidak, itu sahaja dan ibu bapa juga harus memberi tunjuk ajar mana perkara yang betul dan salah. Itu perkara yang wajib dan penting untuk tanam kepada anak masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara bertajuk “Penguat Kuasa Berintegriti Membina Negara Bermaruah” terbitan Bernama TV malam ini.

Ismail berkata, bagi mengelak kepincangan dalam sektor awam, proses pemilihan dan pengambilan calon yang bakal berkhidmat juga harus diteliti semula dan diperketat bagi memastikan pembaharuan berkaitan integriti dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Hal ini penting untuk pastikan hanya calon yang betul-betul layak diterima dalam perkhidmatan awam, terutama dalam agensi penguatkuasaan yang mempunyai kuasa yang banyak dalam laksanakan tugas harian mereka.

“Kadang-kadang dari segi kelayakan (akademik) sudah cantik tetapi apabila sudah menjawat jawatan, mereka tiba-tiba berubah sikap, jadi kita kena bermula tegas dari proses pengambilan itu,” katanya.

Semalam, Ismail mendedahkan suruhanjaya itu menerima 176 aduan berkaitan salah laku tahun ini dengan kebanyakan membabitkan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, daripada 176 aduan itu, antara aduan utama dikenal pasti ialah berkaitan aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya hingga menyebabkan kekecewaan kepada pengadu iaitu 59 aduan, selain aduan agensi tidak mengikut prosedur operasi standard (37), salah guna kuasa (24) serta rasuah (19). – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...