PM Anwar tidak mahu MA63 tertangguh

Date:

Share post:

PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan untuk menyelesaikan segera mana-mana perkara disepakati antara kerajaan Persekutuan dan Sabah, seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang tidak mahu perkara itu tertangguh berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, juga telah diarahkan untuk mempengerusikan Majlis Tindakan MA63 sebagai platform untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Majlis Tindakan MA63 itu turut disertai bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, masing-masing merupakan Ahli Parlimen Papar dan Penampang di Sabah.

“Sedaya upaya (kerajaan Persekutuan dan Sabah) selesaikan soal MA63. Dalam tempoh setahun kerajaan MADANI, kita telah menyelesaikan MA63 jauh lebih baik daripada apa yang dibuat pada 10 tahun lalu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli, Armizan dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan pimpinannya tidak ada masalah sama sekali untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam MA63, sebaik sahaja kerajaan Sabah bersedia dalam semua perkara berkaitan seperti penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pada Januari, dilaporkan kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah dan SESB kepada kerajaan Sabah secara berfasa, yang merupakan sebahagian usaha untuk memartabatkan MA63.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan juga sentiasa peka dengan keperluan Sabah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk menangani masalah dihadapi negeri itu, malah peruntukan disalurkan kepada Sabah juga adalah lebih tinggi berbanding negeri lain.

Justeru, Anwar meminta semua pihak untuk melihat keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah, tidak hanya melibatkan usaha merealisasikan tuntutan dalam MA63, tetapi juga dalam aspek meningkatkan infrastruktur dan menoktahkan kemiskinan, selain menarik kehadiran pelabur.

“Sejak saya jadi Perdana Menteri, berbanding dengan keadaan sebelumnya, tahun 2022 peruntukan keseluruhan untuk Sabah RM12.9 bilion, (tahun) 2024 saya tambah jadi RM16 bilion.

“Jadi, orang yang menyerang kita harus ingat, betul kita belum putuskan soal 40 peratus (tuntutan hasil dari Sabah), tetapi RM16 bilion ini jauh melebihi angka 40 peratus yang dijanjikan itu. Kita harus lihat keseluruhan, boleh buat tuntutan, boleh lihat perjanjian dan beberapa peruntukan yang disepakati.

“Saya baru jadi Perdana Menteri, kerajaan Perpaduan MADANI baharu satu setengah tahun, tetapi dalam tempoh ini, saya meningkatkan peruntukan Sabah…tambah RM4 bilion, tertinggi dalam negara kita,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan perkara itu memandangkan terdapat pihak termasuk Ahli Parlimen membuat kritikan, seolah-olah kerajaan Persekutuan menafikan hak dan menganaktirikan Sabah.

“Tuntutan dan kritikan boleh dibuat, namun jangan sampai menafikan segala peruntukan atau usaha dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam membantu merancakkan pembangunan negeri,” katanya.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kebijaksanaan dan Hikmah: Permata Agung dalam Memimpin Kehidupan

Seperti ombak yang tidak pernah jemu menghempas pantai, cabaran hidup hadir tanpa henti, menguji keteguhan jiwa dan kecerdikan akal. Di sinilah kebijaksanaan dan hikmah menjadi pelita yang menyinari lorong-lorong gelap perjalanan ini.

Tanggungjawab Kepimpinan dalam Islam dan Relevansi dalam Politik Malaysia

Kepimpinan dalam Islam adalah sebuah tugas yang tidak hanya menyentuh batas duniawi tetapi juga melangkaui keabadian akhirat. Ia bukan sekadar satu takhta yang dihiasi dengan simbol kuasa, tetapi sebuah amanah yang menuntut keikhlasan, keadilan, dan pengorbanan.

Anwar, Prabowo fokus kepada pengukuhan hubungan dua hala

"Lawatan ini mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan,"

Lawatan kerja pertama Prabowo ke Malaysia hari ini

"Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau serta menangani cabaran global,"