Nohtahkan miskin tegar di Sabah sebelum Julai – PM Anwar

Date:

Share post:

PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kemiskinan tegar di Sabah, dinoktahkan sebelum akhir Julai tahun ini.

Beliau yang memberi keutamaan kepada usaha menoktahkan kemiskinan khususnya di Sabah, yakin sasaran tersebut mampu dicapai berikutan bilangan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar di negeri itu menurun daripada 20,000 kepada 9,000, setakat ini.

Isu kemiskinan tegar di Sabah menurut Anwar, adalah lebih serius berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor, justeru kerjasama bersepadu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diterus diperkukuh ke arah menyelesaikan masalah tersebut.

“Kemiskinan tegar ini maknanya uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum atau susu untuk bayi mungkin ada masalah (untuk membeli), sebab itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Kita mahu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai 2024. Ini keutamaan kita, kita boleh bincang pelbagai hal tetapi kalau anak-anak kita, keluarga kita tidak cukup makan, itu tanggungjawab yang kita (perlu) selesaikan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, hari ini.

Pesta Kaamatan yang disambut selama sebulan berakhir hari ini dengan majlis pembukaan berlangsung di Ranau pada 1 Mei. Pesta menuai itu yang kini berevolusi menjadi pesta perpaduan disambut masyarakat berbilang latar belakang di Sabah, juga seluruh negara.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dalam ucapannya, Anwar berkata selain usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan sekolah daif di Sabah, hal-hal berkaitan isu bekalan air di negeri itu juga dibincangkan bersama Ketua Menteri terutama melibatkan sebahagian peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.

Ini termasuk isu bekalan elektrik memandangkan Sabah masih berdepan masalah itu, kata beliau.

Perdana Menteri berkata rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang turut dihadiri menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan adalah satu tradisi baik selain memperlihat hubungan erat antara kedua-duanya. 

“Dengan rundingan itu, ada yang kita ubah suai, ada cadangan-cadangan baharu yang kita rasa tidak utama, tetapi kita beri perhatian,” jelas beliau.

Sementara itu, Anwar berkata keputusan mengecualikan Sabah dan Sarawak dalam penyasaran semula subsidi diesel diambil kerana penggunaan bahan itu adalah lebih meluas berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

Ia juga berdasarkan kepada keperluan rakyat dan bukannya permintaan daripada kerajaan negeri terbabit, kata beliau.

Perdana Menteri berkata penyasaran semula subsidi diesel kepada rakyat diperkenalkan bagi memastikan hanya golongan sasar sahaja menikmati manfaatnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelarasan tarif elektrik yang diperkenalkan berjaya menyelamatkan kira-kira RM4.5 bilion wang kerajaan, manakala penyasaran subsidi diesel untuk satu tahun mampu menyelamatkan RM4 bilion. 

“Jadi, selama ini, RM8 bilion kita sedekah atau subsidi kepada orang kaya dan orang asing. Sekarang, bila kita hentikan, kita selamatkan (wang kerajaan).

“Saya sebut begini kerana nanti dijadikan isu politik oleh sesetengah pihak. Penyasaran subsidi adalah langkah-langkah diambil untuk menyenangkan rakyat,” kata beliau.

Anwar yang tiba di Kota Kinabalu lewat malam tadi, dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kapayan di sini sebelum bertolak ke Labuan.

Di Labuan, beliau dijadual menghadiri Sesi Santai Komuniti di Jeti Terminal RORO Feri Kenderaan bagi menyantuni penduduk di kawasan itu dan mengakhiri lawatannya dengan menghadiri Sesi Taklimat Smart Labuan City di Wisma Perbadanan Labuan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Rayuan subsidi diesel pengusaha bas sekolah akan dipertimbangkan – PM Anwar

Kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi. Ya, boleh. Ada masa untuk merayu dan (kita akan) berikan tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan yang untung besar, tak munasabah dapat subsidi

Johor semakin hampir menoktahkan miskin tegar – Onn Hafiz

Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan sifar miskin tegar di Johor menjadi satu realiti. Antara inisiatif itu termasuk Program Keluarga Angkat, Dapur Kasih Johor, yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, bantuan baik pulih rumah, bantuan peralatan, latihan dan pendidikan

Pendedahan awal dari peringkat sekolah berkaitan integriti perlu dilaksana – Dr Ismail

Walaupun ia bukan perkara yang wajib, ia boleh dilaksanakan sebab untuk mendidik semangat integriti ini bukanlah usaha yang memerlukan kos tinggi. Hanya sama ada mahu atau tidak, itu sahaja dan ibu bapa juga harus memberi tunjuk ajar mana perkara yang betul dan salah

Serangan balai polis Ulu Tiram : Anggota polis terbunuh dinaikkan pangkat secara anumerta

"Bukan nilai ratusan yang diutamakan tetapi untuk meringankan beban keluarga, ...kita tidak boleh gantikan kesedihan (kehilangan ahli keluarga) dengan wang ringgit. "Aspek kebajikan (ahli keluarga PDRM) kita jaga dan ini memperlihatkan hubungan polis (dengan keluarga) tidak terputus,"