Projek ECRL di empat negeri mencapai 65 peratus kemajuan – Anthony Loke

Date:

HULU SELANGOR: Kemajuan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sudah mencapai lebih 65 peratus setakat bulan lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, projek itu juga sudah memasuki fasa baharu pembinaan sejak tahun lalu dengan kerja infrastruktur merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api.

“Untuk Selangor, projek ECRL mencatat kemajuan melebihi 26 peratus setakat April lalu iaitu sejajar dengan tarikh penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada Disember 2027 dan pengoperasian bermula Januari 2028.

“Rangkaian ECRL di Selangor yang hampir 120 kilometer menetapkan sebanyak lima stesen iaitu stesen Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam bagi tujuan penumpang sahaja, manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam adalah stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menyantuni Ekonomi, Sosial, Rakyat dan Alam Sekitar (MESRA) ECRL Karnival Kerjaya ECRL di Dewan Dato Abdul Hamid, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd.

Loke berkata, pihaknya yakin MESRA ECRL yang berteraskan karnival kerjaya dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana banyak pengisian dan peluang pekerjaan yang disediakan menerusi infrastruktur nasional itu.

“Antara yang menarik, termasuk sesi temuduga terbuka Program Latihan Kemahiran Industri ECRL atau PLKI-ECRL yang dijalankan bagi menawarkan latihan serta jawatan seperti juruelektrik, juruteknik tapak binaan, pembantu jurutera bangunan dan mekanik jentera berat.

“Pelatih PLKI-ECRL yang berjaya menamatkan latihan kelak akan terus ditawarkan peluang pekerjaan di bawah Projek ECRL.

“Usaha ini adalah untuk memastikan bilangan tenaga pekerja tempatan yang mencukupi untuk Projek ECRL pada masa terdekat dan akan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam sektor pembinaan dan industri rel di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif PLKI-ECRL itu dijangka akan melatih seramai 1,800 pelatih tempatan untuk turut serta dalam fasa pembinaan Projek ECRL serta 3,200 pelatih tempatan bagi fasa pengoperasian dan penyelenggaraannya kelak.

“Pengambilan pelatih-pelatih PLKI-ECRL adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...
Exit mobile version