Kerajaan beri bantuan khas kepada waris 10 anggota nahas helikopter TLDM

Date:

Share post:

Lumut: Kerajaan akan mengumumkan bantuan khas kepada waris 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan dari aspek kebajikan itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Sudah pasti ada (mangsa) yang mencarum dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), ada juga yang sudah ada pencen dan sebahagiannya ada insuran.

“Di samping itu, Perdana Menteri akan umumkan apa juga bantuan dan sokongan daripada kerajaan kepada keluarga mangsa ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pekan Lumut, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan ke lokasi nahas dan menziarahi waris mangsa di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Pangkalan TLDM.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, semua waris sudah berada di HAT, manakala keluarga mangsa yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah akan dibawa terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi proses pengecaman mayat serta bedah siasat.

“Sudah pasti apabila berlaku (tragedi), bukan sahaja waris, kita sendiri akan dapat merasai kesedihan yang mereka rasai. Apatah lagi majoriti mereka mempunyai keluarga dan anak yang masih kecil.

“Bayangkan anak yang berumur tiga tahun tidak tahu apa-apa, kehilangan sama ada ibu atau bapa.

“Oleh itu, saya minta semua pihak menghormati waris mangsa dengan tidak memaparkan apa-apa (sebarang gambar, kenyataan dan video) yang boleh menyentuh sensitiviti mangsa berhubung kait dengan kejadian ini,” katanya.

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Mereka yang terkorban dari Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari Pesawat Fennec (M502-6) dikenal pasti Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1082964/kerajaan-beri-bantuan-khas-kepada-waris-10-anggota-nahas-helikopter-tldm

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

RM75.5 juta bantuan pendidikan diperuntukkan tahun ini untuk laksanakan 13 inisiatif – KM Hajiji

Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini

Tukar pengurusan kanan Sapura antara syarat untuk suntikan dana diberikan – PM Anwar

Mesti diganti dengan pengurusan baharu dan kalau ada permasalahan yang membabitkan keperluan siasatan, jadi ini pertimbangan kita

70 peratus pelajar asrama penuh disarankan memilih aliran STEM – PM Anwar

Kita ada Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sekarang kecerdasan buatan (AI) di merata tempat, tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM

Ascend Airways mulakan operasi pada akhir 2025

Kami komited untuk memperkukuh landskap penerbangan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ACMI yang boleh dipercayai kepada syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, broker sewaan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)