Dr Yusof Yacob nyatakan belum sah jadi ahli UMNO sebelum ini

Date:

Share post:

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama empat ADUN UMNO Sabah yang lain, sebenarnya bukan ahli parti itu.

Perkara itu dimaklumkannya ketika diminta mengulas sama ada dipanggil menghadap Lembaga Disiplin UMNO berhubung tindakan beliau bersama empat ADUN lain menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Awal bulan lalu, beliau bersama ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) menolak keputusan UMNO Sabah menarik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan negeri.

Keempat-empat mereka sudah menerima surat daripada Lembaga Disiplin UMNO, manakala Dr Yusof tidak.

Dr Yusof yang ditemui pada sidang media ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari yang keluar WARISAN semalam, berkata beliau sebelum ini menyangka sudah diterima semula menyertai UMNO selepas meninggalkan WARISAN pada Oktober 2021.

“Saya memikirkan sudah diterima menjadi ahli UMNO kerana saya dipanggil oleh pejabat Perhubungan UMNO untuk menyertai acara-acara dan juga perhimpunan parti itu tetapi rupanya saya ini belum menjadi ahli.

“Jadi, UMNO rupanya tidak menerima saya, jadi tidak salah saya menyertai Gagasan Rakyat, saya sudah diterima pada dasarnya kerana ia sudah dibawa secara rasminya,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa beliau tidak pernah menerima surat mahupun dipanggil Lembaga Disiplin UMNO, susulan keputusan menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Dr Yusof mendakwa ada pemimpin terutama dalam UMNO bahagian Sipitang tidak mahu beliau masuk semula parti itu kerana takut menjadi saingan kepada mereka.

“Jadi saya kata, tidak apalah, mereka tidak mahu menerima saya. Saya ini orang politik, saya terpaksa mencari landasan perjuangan politik.

“Oleh itu, tanpa ada rasa ragu-ragu saya tiada masalah untuk menyertai mana-mana parti yang saya fikirkan sesuai untuk saya, jadi saya memilih Gagasan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Yusof berkata beliau tidak mahu melayan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya berhubung tindakan menyertai Gagasan Rakyat termasuk dikatakan ‘katak’ dan ‘dibeli’.

“Sebenarnya mereka tidak faham, ia hanya alasan memburukkan kita, tetapi apapun yang mereka katakan itu biarlah mereka cakap kerana mereka tidak tahu isi hati kita.

“Saya tidak mahu layan kata-kata mereka itu, lebih-lebih lagi yang dicakap di Parlimen sedangkan kita tiada di sana untuk mempertahankan diri, tetapi rakyat tahu apa matlamat kita untuk Sabah,” katanya.

Sebelum menyertai WARISAN dan bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, Dr Yusof yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat pernah menjadi ahli UMNO dan mengetuai UMNO bahagian Sipitang pada 1990-an.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...