KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bersama jabatan serta agensinya tahun ini bagi memperkukuh sektor pelancongan, memelihara warisan budaya dan memastikan kelestarian alam sekitar Sabah terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM38.70 juta diperuntukkan bagi menaik taraf fasiliti serta infrastruktur sedia ada termasuk beberapa projek utama seperti penambahbaikan kemudahan di Petagas War Memorial Park, pembinaan Muzium Etnik Ranau, naik taraf Pusat Kebudayaan Penampang serta peningkatan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

Menurut beliau, kerajaan turut meneruskan usaha memperkasa warisan budaya menerusi pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 bagi memastikan kepelbagaian etnik di Sabah dapat didokumentasikan secara lebih sistematik sebagai rujukan generasi masa kini dan akan datang.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, di mana teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam. Hajiji turut berharap persatuan etnik di negeri ini terus memelihara adat, bahasa dan budaya masing-masing agar tidak pupus serta mampu menjadi tarikan pelancongan.
Katanya, penganjuran Hari Etnik Sabah yang memasuki tahun keenam itu menjadi simbol keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini, selari dengan tema sambutan tahun ini, “Budaya Kita, Kita Jaga”, yang menekankan tanggungjawab bersama dalam memelihara identiti budaya sebagai asas perpaduan rakyat Sabah.
Pelaburan besar kerajaan negeri ini membuktikan bahawa pembangunan ekonomi tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal semata-mata, tetapi turut memberi penekanan terhadap warisan budaya dan identiti rakyat Sabah. Langkah ini penting bagi memastikan khazanah budaya negeri terus terpelihara sambil menjana manfaat ekonomi melalui sektor pelancongan.
Sabah memiliki kekayaan budaya yang unik dan berpotensi besar untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa. Dengan perancangan yang konsisten, sasaran empat juta pelancong bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.