KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan sasaran baharu untuk menarik lebih empat juta pelancong sempena pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuhkan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman berkata, kerajaan turut merangka penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai strategi jangka sederhana bagi memperluaskan promosi negeri ini di peringkat antarabangsa serta meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan utama.
Menurut beliau, aspek keselamatan pelancong terus diberi perhatian melalui pemantauan berterusan serta pematuhan ketat terhadap peraturan sedia ada. Pada masa sama, prosedur keselamatan bagi aktiviti pelancongan berisiko turut diperkemas mengikut piawaian antarabangsa bagi memastikan keyakinan pengunjung sentiasa terpelihara.
Dalam kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), pembangunan sektor pelancongan Sabah akan memberi fokus kepada penghasilan produk baharu, pemerkasaan nilai budaya dan alam sekitar serta penglibatan aktif komuniti tempatan. Kerajaan juga terus menyokong industri kreatif melalui penambahbaikan infrastruktur termasuk pembangunan ruang pameran baharu dan bantuan kepada penggiat seni tempatan.
Selain sektor pelancongan, kerajaan negeri turut memperhebat pembangunan infrastruktur pengangkutan termasuk pembinaan kemudahan pelayaran, penaiktarafan fasiliti maritim, pembangunan Terminal Feri Menumbok Fasa Empat dan Lima serta beberapa jeti awam strategik. Kajian sistem kereta api moden dari Putatan ke Kota Kinabalu Industrial Park dan Pelabuhan Sepanggar juga sedang dilaksanakan.
Langkah kerajaan negeri ini dilihat cukup strategik dan tepat pada masanya kerana pelancongan sememangnya memiliki potensi besar untuk terus memacu ekonomi Sabah. Jika semua perancangan ini dilaksanakan secara konsisten, Sabah bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah berpotensi muncul sebagai antara destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara.