Home Berita Sabah Fokus Graduan Berkualiti, Selari Permintaan Pasaran

Sabah Fokus Graduan Berkualiti, Selari Permintaan Pasaran

0

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) terus komited memastikan hala tuju pendidikan tinggi di negeri ini selari dengan keperluan semasa industri bagi melahirkan graduan yang relevan dan berdaya saing.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, program serta latihan yang ditawarkan di politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu sentiasa dikemas kini mengikut kehendak pasaran kerja, dan tidak boleh kekal statik tanpa penyesuaian semasa.

GAMBAR KREDIT KEPADA PEMILIK ASAL

Menurut beliau, KPSTI akan mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan libat urus bersama pemain industri serta institusi pendidikan bagi menyelaras penawaran program latihan agar lebih berimpak tinggi dan memenuhi kehendak majikan.

Katanya, langkah itu diyakini dapat memberi laluan kerjaya yang lebih jelas kepada pelajar selepas tamat pengajian, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan. Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan mendesak menaik taraf kemudahan asas institusi serta menjaga kebajikan pelajar, termasuk penyediaan makanan berkualiti.

Selain itu, KPSTI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam pelaksanaan projek melibatkan IPTS, dengan 21 projek telah siap dan lapan lagi dalam tindakan. Turut dicadangkan ialah pewujudan laluan khas untuk pelajar luar bandar dan golongan B40, yang mendapat maklum balas positif bagi memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif dan saksama.

Langkah yang diambil ini jelas menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan pendidikan tinggi tidak lagi terpisah daripada realiti industri. Jika pelaksanaan ini konsisten, ia bukan sahaja mampu mengurangkan pengangguran graduan, malah meningkatkan kualiti tenaga kerja tempatan.

Namun, cabaran sebenar terletak pada pelaksanaan di peringkat akar umbi. Penyelarasan kurikulum, komitmen pihak industri, serta kebajikan pelajar perlu dipantau secara berterusan agar usaha ini tidak sekadar menjadi perancangan di atas kertas.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version