RM75.5 juta bantuan pendidikan diperuntukkan tahun ini untuk laksanakan 13 inisiatif – KM Hajiji

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM75.5 juta tahun ini bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan mahasiswa Sabah di dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan dan diteruskan lagi pada tahun ini adalah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dan Bantuan Insan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI ).

Bantuan lain yang diteruskan katanya, Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Insan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).

Beliau berkata, untuk inisiatif BUDI sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran 10,000 pelajar, manakala BAKTI sebanyak RM8 juta dengan sasaran 40,000 pelajar, pada tahun ini.

“Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini”, katanya pada Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) kepada semua sekolah di seluruh Sabah.

Menurutnya, bantuan sebanyak RM3,000 diberikan kepada setiap sekolah bagi menjalankan aktiviti atau pembelian lain-lain keperluan sekolah.

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM51 juta kepada RM128 juta bagi 2025.

“Dengan pertambahan yang berlipat kali ganda itu, disamping beberapa lagi insentif pendidikan yang lain, diharapkan lebih ramai anak-anak Sabah akan berpeluang menerima bantuan kemudahan pendidikan, terutama mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada di dalam atau ke luar negara, 
termasuk pengajian dalam bidang agama atau pengajian Islam,” jelasnya.

Beliau sebelum ini mengumumkan bantuan subsidi GRS-SUBFLY kepada semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui sumbangan sebanyak RM600 seorang dengan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM10 juta.

Menurutnya, sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan sentiasa mendengar keluhan rakyat, pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di IPT awam dan swasta di dalam Sabah juga tidak dilupakan.

Beliau berkata, mereka akan mendapat bantuan menerusi SENTOSA, bantuan one-off sebanyak RM300 seorang kepada pelajar yang menuntut di IPT dalam Sabah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta dengan anggaran seramai 20,000 pelajar.

“Bantuan SENTOSA saya umumkan pada bulan November tahun lalu. Justeru, saya berharap ia dapat meringankan kewangan para pelajar untuk balik ke kampung halaman sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Pelbagai inisiatif dan bantuan diberikan kepada rakyat khususnya pelajar, adalah untuk melahirkan modal insan berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu membangunkan negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, pendidikan adalah asas yang sangat penting kepada generasi muda sebagai wadah utama untuk menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.

Seiring dengan itu katanya, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya mengambil inisiatif membantu anak-anak Sabah dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan dalam meringankan beban yang ditanggung ibu bapa agar anak-anak tidak tercicir daripada arus perdana.

Menurutnya, pembiayaan pendidikan seperti tajaan biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian, bantuan zakat dan bantuan pendidikan adalah inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan agenda memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan serta mutu pendidikan di negeri ini, termasuk menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...

Tangisan Banjaran: Tragedi UPSI di Gerik dan Takziah Buat Negara

Pada pagi 9 Jun 2025, negara sekali lagi diselubungi duka. Tragedi yang meragut 15 nyawa mahasiswa Universiti Pendidikan...

Pasca Mahathir dan Politik Perkauman: Melayu Tidak Lagi Mahu Diselamatkan, Mereka Mahu Dimajukan

“Yang lemah bukan Melayu. Yang lemah ialah pemimpin yang terus menggunakan Melayu sebagai alasan untuk mengekalkan kuasa.” Tun Dr....