TUARAN: Kerajaan negeri akan melaksanakan satu lagi program baharu tahun ini selain Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR untuk membantu meringankan beban rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif baharu itu adalah tambahan kepada beberapa program yang sudah dilaksanakan termasuk Program SYUKUR yang dilancarkan hari ini.
Menurutnya, sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin dan peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, pihaknya perlu memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat di negeri ini.
“Program ini akan diumumkan pada tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar dan teratur selain mengikut kemampuan kewangan negeri.
“Saya dan rakan-rakan dalam kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif yang boleh membantu rakyat terutama mereka yang miskin dan miskin tegar.
“Apabila semua perbincangan sudah selesai, kita akan umum kepada rakyat,” katanya sempena majlis Pelancaran SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di sini hari ini.
Beliau berkata, Program SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.
Katanya, program itu menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 penerima.
“Bermula pada Februari 2025, seramai 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024 menerima manfaat ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima mendapat bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari lalu manakala 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun dibayar secara berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga bulan Mac ini,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan fasa kedua program berkenaan pada Mei 2025, yang akan memperluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai penerima.
Katanya, ia termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih serta golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan pelaksanaan program berkenaan, kehidupan rakyat yang terjejas dapat dipertingkatkan serta mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan inklusif.
“Saya mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan dalam memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau
Pegawai MySMJ Profiler yang ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Saya berharap agar SYUKUR akan menjadi sebuah inisiatif yang menjadi satu gerakan berterusan yang membawa impak positif kepada masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Jumlah pembayaran bagi program ini akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah dibayar sekali gus (lump-sum) bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 yang akan dikreditkan ke akaun mereka yang mempunyai akaun bank dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Fasa satu pada Januari hingga Mac 2025, diagihkan bermula Februari manakala fasa kedua (April-Jun 2025), diagihkan bermula April; dan fasa ketiga (Julai-September 2025) diagihkan bermula September 2025; manakala fasa keempat (Oktober-Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.
Bagi tujuan semakan penerima dan pembayaran boleh dilakukan melalui laman web Sistem PADANS https://padans.sabah.gov.my/; http://sukur.sabah.gov.my/;YONO Superapp; dan notifikasi pembayaran (SMS).
Semakan penerima SYUKUR boleh mula diakses bermula 19 Februari 2025.