KUALA LUMPUR : Tuntutan pesawah supaya harga lantai padi dinaikkan pada kadar yang lebih wajar atau sekurang-kurangnya RM1,800 per tan akan diketahui tengah hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengumumkan perinciannya sama ada kerajaan setuju menaikkan harga lantai atau kekal pada kadar sedia ada.
Pengumuman itu dijangka dibuat Mohamad pada sidang medianya di Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, pada sidang medianya minggu lalu berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Mohamad akan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen hari ini.
“Kenyataan itu adalah mengenai isu beras khususnya berkaitan harga lantai padi,” katanya turut memaklumkan sejurus menteri membuat kenyataannya, ia akan disusuli dengan sesi perbahasan di Parlimen.
Bulan lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menghantar memorandum tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menerusi memorandum itu, PeSAWAH membangkitkan dua isu antaranya mempertimbang supaya kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.
Polemik isu beras tempatan ini sudah berlarutan sejak tahun lalu.
Selain bekalannya yang didakwa sering tiada dipasaran, manipulasi pihak tertentu yang mencampurkan beras tempatan dan import turut dikesan masih berlaku.