KUALA LUMPUR: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan diagihkan mulai esok, membabitkan peruntukan RM13 bilion seperti yang diluluskan kerajaan menerusi Belanjawan 2025.
Bantuan SARA yang diagihkan bermula esok akan dibayar menerusi penggunaan MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.
Mulai tahun ini juga, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri di Semenanjung pada tahun 2024.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya, berkata kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun lalu.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025, manakala mulai April ini, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata SARA adalah pendekatan bantuan bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak. Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan MOF itu.
Di bawah program SARA, penerima manfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad masing-masing di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.
Penerima SARA juga boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas.
Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
MOF berkata, selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR pula akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025.
Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.
Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.
MOF juga menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk maklumat mengenai program berkenaan.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my mulai esok.